
SUBANG JAYA, 31 JAN : Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan 1,045 denda kepada peniaga atas pelbagai kesalahan dengan nilai hukuman RM625,840 sepanjang tahun lalu.
Timbalan Datuk Bandar Mohd Zulkurnain Che Ali berkata daripada jumlah itu, sejumlah 537 kes bagi kesalahan menyenggara gerai di tepi jalan dan halangan di tempat awam diikuti 272 kes kesalahan premis beroperasi tanpa lesen.
“Sebanyak 192 kes bagi kesalahan mempamerkan iklan tanpa lesen diikuti 35 kes pemanduan kenderaan berat pada waktu dan kawasan larangan, tujuh kes pembuangan sampah haram dan dua kes pusat hiburan beroperasi tanpa lesen.
“MBSJ memandang serius perkara ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap pesalah yang masih gagal mematuhi undang-undang,” katanya dalam mesyuarat bulanan pihak berkuasa tempatan itu semalam.
Mohd Zulkurnain menyeru penjaja yang beroperasi di tepi jalan raya atau atas petak letak kenderaan segera menghentikan aktiviti itu kerana ia mendatangkan risiko keselamatan kepada pelanggan dan pengguna jalan raya.
“Orang awam juga digesa untuk membuat laporan terhadap mana-mana aktiviti haram yang dijalankan di sekitar kawasan Subang Jaya kepada pihak MBSJ,” katanya.
The post MBSJ keluar lebih 1,000 denda babit nilai hukuman RM625,840 kepada peniaga atas pelbagai kesalahan appeared first on Selangorkini.
