MBSP, MBPP siap siaga hadapi banjir

LocalPolitics
16 Oct 2024 • 6:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mooi Lye (kanan) dan Baderul Amin (tengah) ketika melancarkan Sistem I Sweep MBSP pada Rabu.

BUKIT MERTAJAM - Pasukan Pengurusan Krisis Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berikutan perubahan cuaca disebabkan Monsun Timur Laut.

Ia termasuk persiapan menghadapi banjir disebabkan fenomena air pasang besar yang diramalkan akan berlaku di Pulau Pinang antara 18 hingga 21 Oktober ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye berkata, kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan telah melakukan persiapan rapi termasuk dari segi pasukan khas, logistik dan aset bagi memberikan respons pantas sekiranya menerima laporan banjir.

"Kita memang telah melakukan persiapan daripada awal lagi, malah pada minggu lepas saya telah mengingatkan kepada dua Datuk Bandar agar pasukan kita sentiasa bersedia 24 jam dan bertindak pantas terhadap laporan diterima.

"Kita ada pasukan pekerja yang bertanggungjawab membersihkan halangan di dalam parit bagi memastikan pengaliran air terutamanya di kawasan berisiko banjir lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Sistem I Sweep Majlis Bandaraya Seberang Perai di Menara MBSP, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Datuk Bandar MBSP, Datuk Baderul Amin Abdul Hamid dan barisan Ahli Majlis MBSP.

Pada Selasa Sinar Harian melaporkan Unit Pengurusan Bencana Pulau Pinang akan meneliti semua ramalan dan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sepanjang musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada hujung bulan ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, unit tersebut akan memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan untuk menangani sebarang kejadian luar jangka seperti pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa lokasi tumpuan di lima daerah di negeri ini.

Sebelum ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang meramalkan fenomena air pasang besar akan berlaku di Pulau Pinang antara 18 hingga 21 Oktober ini.

Bukan itu sahaja, banjir kilat juga dijangka berlaku sekiranya hujan lebat dalam tempoh tersebut.

Berdasarkan Jadual Pasang Surut Malaysia 2024 paras air laut pasang tertinggi di perairan Pulau Pinang akan mencecah di antara 2.8 hingga 3.1 meter CD (Chart Datum) dalam tempoh berkenaan.

Pertembungan hujan lebat dalam tempoh sejam dengan air pasang akan berisiko tinggi kepada kawasan pinggir pantai dan sungai-sungai utama di Pulau Pinang.