
KUALA LUMPUR - Edisi kedua Kejuaraan Kriket Piala Dunia T20 Wanita Bawah 19 baru sahaja melabuhkan tirai.
Acara dianjurkan Persatuan Kriket Malaysia (MCA) itu berhasil meraih publisiti meluas dan melakar sejarah sebagai kejohanan kriket yang menerima siaran tertinggi di seluruh dunia.
Ketika semua pihak seharusnya meraikan kejayaan itu, senario sebaliknya pula berlaku.
Angkara seorang individu yang ‘gila kuasa’, desas-desus tidak enak mula bertebaran.
MCA kini dikatakan berdepan cubaan ‘coup-de-tat’ yang mahu menumbangkan barisan kepimpinan sedia ada dengan menganjurkan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).
Sumber memberitahu Getaran, individu terbabit sedang berusaha keras melebarkan pengaruh dan menyebarkan pelbagai tohmahan ke atas dua pimpinan tertinggi MCA, bagi memastikan mereka dapat disingkirkan.

Katanya, perkara itu jelas mengecewakan apatah lagi pimpinan tertinggi MCA sedia ada berjaya membuktikan kemampuan mereka mengemudi persatuan dengan cemerlang dan menghasilkan pulangan yang lumayan.
“Di bawah Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali, MCA berjaya menghasilkan pulangan lumayan yang sehingga kini mencecah RM9 juta.
“Jumlah ini adalah lapan kali ganda berbanding RM1 juta sebelum pimpinan baharu mengambil alih MCA,” katanya.
Sekadar info, Mohammed Iqbal dilantik sebagai presiden secara sah menerusi pemilihan yang diadakan pada Mei 2021.
Jelas sumber, penganjuran Piala Dunia T20 Wanita Bawah 19 pada 18 Januari hingga 2 Februari lalu buat pertama kali sejak 2008 juga adalah hasil komitmen padu barisan kepimpinan, khususnya Mohammed Iqbal.
“Acara ini juga menerima perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kami percaya, semua ini tidak mampu dicapai jika MCA masih dikemudi pemimpin terdahulu,” katanya.
Hilang Aset Berharga
Bukan hanya dibebani masalah kewangan, pentadbiran MCA sebaik sahaja diambil alih oleh Mohammed Iqbal turut berdepan kehilangan beberapa aset berharga.
Paling menyedihkan ialah apabila persatuan itu terpaksa melepaskan Stadium Kriket Kinrara atau lebih dikenali sebagai Kinrara Oval di Puchong yang ditutup secara rasmi pada Mac 2022.
“Ketika mengambil alih MCA, sumber kewangan kami terhad dan kemudian terpaksa pula hilang aset berharga, gara-gara kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku.
“Awak bayangkan, Kinrara Oval ‘dirampas’ kerana tunggakan cukai melebihi RM1.8 juta. Apa yang sudah terjadi sebenarnya? Kenapa boleh ada tunggakan cukai yang sebegini besar,” katanya, kesal.

Getaran difahamkan, tanah seluas lebih tiga hektar yang menempatkan Kinrara Oval itu dimiliki oleh Perumahan Kinrara Berhad (PKB).
“Sudahlah hilang Kinrara Oval, MCA terpaksa pula menjelaskan hutang lebih RM1 juta sedangkan ia tidak sepatutnya berlaku.
“Sekarang bila MCA kembali cemerlang, ada pula tangan ghaib yang mahu memusnahkan persatuan,” katanya, berang.
Pemilikan Kinrara Oval oleh MCA berlaku pada 2003 selepas persatuan terbabit menandatangani perjanjian 15 tahun bersama PKP.
Atas kegagalan pentadbir terdahulu menjelaskan cukai, PKB terpaksa membuat bayaran bagi pihak mereka kepada kerajaan negeri Selangor, sekitar RM200,000 untuk beberapa tahun.
Diiktiraf sebagai infrastruktur kriket bertaraf dunia, Kinrara Oval ialah nadi sukan kriket Malaysia sejak 2003.
Sejak kewujudan, fasiliti berkenaan menganjurkan pelbagai kejohanan antarabangsa, termasuk Sukan SEA 2017 dan Piala Dunia Kriket Bawah 19 2008. - Getaran, 17 Februari 2025
