
Persatuan Kriket Malaysia (MCA) kini bukan lagi gelanggang sukan — ia telah menjadi pentas drama, dipenuhi watak-watak yang berlagak suci, tetapi lupa mereka sendiri sedang dipertikai di mahkamah.
Beberapa hari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pertikaian Sukan (SDC), Datuk Low Beng Choo, dengan jelas menyebut:
“Perkara ini sub judis. Kami tak boleh komen, malah tak boleh sahkan kesahihan mana-mana pelantikan.”
Dalam bahasa mudah: Tutup mulut. Tunggu keputusan mahkamah. Jangan buat apa-apa. Tapi apa yang berlaku?
Kumpulan yang mendakwa diri mereka ‘pemenang sah’ dalam pemilihan MCA yang sedang disiasat mahkamah dan dipertikai di SDC ini terus mara ke hadapan, mengeluarkan kenyataan, mengadakan mesyuarat, membuat pelantikan, menandatangani dokumen, dan berlagak seperti kerajaan yang baru menang Pilihan Raya Umum (PRU).
Soalannya mudah: Jika kedudukan mereka belum disahkan dan kes di mahkamah masih berjalan, kuasa apa yang mereka pakai? Kuasa ghaib? Atau kuasa ‘buat dulu, minta maaf kemudian’?
Hipokrasi Dan ‘Cakap Tak Serupa Bikin’
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pula, yang kononnya berkecuali, buat kenyataan bodoh: “Kami tiada kuasa campur tangan… tapi semua berjalan ikut perlembagaan MCA.”
Boleh tak logik sikit?
Kalau tak ada kuasa, diam sajalah. Tapi bila anda kata semuanya ikut perlembagaan, itu bukan berkecuali — itu menyebelahi satu pihak.
Lebih lucu, orang yang sedang mengetuai MCA sekarang — Datuk Ahmad Feisal ialah juga Bendahari Kehormat MOM. Bukankah itu konflik kepentingan paling nyata?
Dan bila Iqbal dan pasukannya yang dilantik sejak 2021 menghormati proses undang-undang, tidak menyertai pemilihan dan failkan kes kepada SDC dan mahkamah — mereka dicop sebagai ‘pengecut’ dan ‘tidak sah’.
Sebaliknya, kumpulan yang melanggar sempadan undang-undang dan meneruskan agenda kuasa dalam keadaan status mereka sendiri masih tidak sah, dipanggil ‘pemimpin’ dan ‘pembaharu’.
Logik apa ni?
Pemilihan Tak Sah Tapi Buat-Buat Sah
Sekarang ini, keputusan pemilihan MCA yang sedang disiasat disebarkan macam berita sukan. Lengkap dengan siaran media dan pengumuman jawatan.
Nak kelirukan siapa sebenarnya?
Rakyat? Pemain? Atau diri sendiri?
Richard Tan, yang tak dikenali dalam dunia kriket dan menang tanpa bertanding sebagai Setiausaha Kehormat dalam pemilihan kontroversi itu, sudah menghantar notis Mesyuarat Majlis Kedua MCA 2025.
Mesyuarat pertama tempoh hari hanya jadi pentas Mahinda Vallipuram melantik diri. Tak ada agenda, tak ada ruang berbincang. Ia bukan mesyuarat — ia teater satu babak.
Ahli negeri berkata: “Kami tak diberi suara. Ini bukan demokrasi. Ini diktator pakai blazer sukan.”
Sekarang, mesyuarat kedua diumumkan — soalnya, untuk apa?
Untuk teruskan lakonan kononnya mereka ‘sah’?
Atau untuk ulang semula skrip propaganda yang sama?
Biar Mahkamah Tentukan, Bukan Politik Dalaman
Kita tahu:
• MCA diheret ke mahkamah oleh Ahmad Feisal dan kumpulannya sendiri.
• Mereka kalah dalam proses dalaman, terus pergi ke mahkamah.
• Bila kes masuk mahkamah, barulah Iqbal dan pasukan ambil tindakan mengikut prosedur.
• Ironinya, kumpulan yang failkan saman kini berlagak paling sah.
Adakah ini jenaka atau tragedi?
Mereka persoalkan kenapa Iqbal menggunakan kepala surat MCA semasa bertugas padahal ketika itu tiada sebarang kes mahkamah.
Kini mereka sendiri menggunakan kepala surat MCA untuk mengumumkan keputusan pemilihan yang masih sub judis!
Itu bukan hipokrasi — itu penghinaan kepada akal.
Saranan Paling Waras: Semua Berundur
Ramai pemegang taruh, termasuk dari negeri dan bekas pemain, kini menyuarakan perkara sama: Cukup. Hentikan. Semua pihak termasuk Iqbal dan Feisal harus berundur.
Biar SDC bentuk jawatankuasa interim bebas, terdiri daripada tokoh sukan profesional, bukan kaki politik sukan.
Jawatankuasa ini patut:
• Urus tadbir MCA buat sementara,
• Hentikan semua urusan kewangan besar,
• Pastikan pemilihan pasukan kebangsaan tidak dicemari, dan
• Tunggu keputusan mahkamah dan SDC sebelum sebarang pelantikan kekal dibuat.
Ini satu-satunya cara untuk memulihkan integriti.
Bukan kerana Iqbal atau Feisal betul.
Tapi kerana MCA sudah jadi terlalu rosak untuk ditadbir mana-mana kem sekarang.
Penutup: Ini Bukan Soal Siapa Menang
Krisis ini bukan tentang siapa yang lebih pandai main politik.
Ia tentang bagaimana satu sukan yang indah — kriket — kini dicemari oleh kuasa, ego dan kerakusan.
Jika benar mereka ini cintakan kriket — berundurlah.
Tutup mulut, hentikan mesyuarat propaganda dan hormatilah proses kehakiman negara.
Hanya satu pihak yang patut buat keputusan sekarang — MAHKAMAH.
Bukan kumpulan yang mengaku menang. Bukan kumpulan yang rasa mereka betul.
Dan bukan MOM yang jadi penonton tapi sibuk bagi markah.
Tamatkan Drama
“Kalau anda masih belum disahkan, tapi terus jalankan kuasa — itu bukan keberanian. Itu keangkuhan.”
Cukup. Tamatkan drama.
Biarkan sukan ini kembali kepada yang benar-benar mahu membina, bukan kepada mereka yang hanya mahu menguasainya. - Getaran, 21 Jun 2025
Penulis ialah pemerhati dan peminat kriket tegar, yang juga pembaca Getaran
