
Kota Kinabalu: MCA mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang di bawah tiket Barisan Nasional (BN).
Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menegaskan parti itu masih mempunyai tempat dalam politik Sabah dan wajar diberi peluang bertanding sebagai mencerminkan peranan serta sumbangannya dalam gabungan berkenaan.
“Sudah tentu mesti ada calon daripada MCA tetapi kita tidak boleh dedahkan berapa jumlahnya sekarang kerana rundingan masih berjalan.
“Kita sudah mengenal pasti, menapis dan menemu bual pemimpin akar umbi untuk dijadikan calon berpotensi,” katanya pada Konvensyen MCA Sabah, Sabtu.
Wee berkata, MCA akan menghormati keputusan akhir sebaik ia dimuktamadkan.
“Kita akan bekerjasama merangka strategi di kawasan yang akan ditandingi,” katanya, menambah MCA bersedia menghadapi pilihan raya negeri.
Menurutnya, terdapat 36,000 ahli MCA di Sabah, sebahagian besar menyertai sejak parti itu mula bertapak di sini lebih 30 tahun lalu.
“Kini kita sedang menarik penyertaan generasi muda bagi memastikan kesinambungan perjuangan mendorong agenda politik Sabah ke hadapan.
“MCA akan bekerjasama dengan Umno, PBRS dan MIC bagi memastikan kemenangan calon-calon kita,” katanya.
Wee berkata sejak 2018, MCA Sabah diberikan autonomi untuk mengurus kepimpinan sendiri, membolehkan bahagian memilih pemimpin masing-masing secara bebas berbanding struktur di Semenanjung.
“Landskap politik Sabah adalah unik dengan rakan dalam Kerajaan Perpaduan berpotensi bertukar menjadi lawan pada pilihan raya negeri.”Katanya, MCA sebagai parti relevan di Sabah memahami aspirasi rakyat.
“Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin selalu menegaskan ‘radu tetap radu, lawan tetap lawan,’ bermaksud apa sahaja yang kita janjikan mesti ditunaikan.
“Apa yang kita mahu adalah menjadikan Sabah lebih maju dan progresif,” katanya.
Turut hadir, pemimpin parti komponen BN iaitu Umno, PBRS, MCA dan MIC.
