PKR belum muktamad jumlah calon – Fahmi

LocalPolitics
7 Sep 2025 • 10:26 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

LAHAD DATU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum memuktamadkan jumlah calon yang bakal bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil, berkata senarai calon dijangka diumumkan secara rasmi dalam tempoh dua minggu sebelum hari penamaan calon.

“Buat masa ini, terdapat beberapa perkara yang masih perlu dibincangkan dan diselesaikan.

“Baru-baru ini, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga telah menyatakan bahawa Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan tidak akan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Susulan keputusan itu, ada beberapa perkara yang perlu kita bincangkan,” katanya pada sidang media sempena lawatan ke daerah ini, Sabtu.

Terdahulu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi melawat Kampung Sepagaya untuk menguji kualiti liputan komunikasi di kawasan berkenaan, selain menilai prestasi serta tahap kesiapsiagaan penyedia perkhidmatan komunikasi (telco) menghadapi Monsun Timur Laut.

Melalui ujian bersama CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL menggunakan aplikasi MCMC Nexus, didapati menara komunikasi di kawasan itu mampu mencapai kelajuan hingga 300Mbps bagi rangkaian 5G dan 80Mbps untuk 4G, sekali gus memanfaatkan kira-kira 3,800 penduduk setempat.

Sehingga 31 Julai lalu, liputan Internet di kawasan berpenduduk di Sabah mencapai 95.30 peratus, peningkatan ketara berbanding 73.41 peratus sebelum pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (Jendela).