
PETALING JAYA: MCA menuntut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh memberi penjelasan berhubung pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibuat tanpa persetujuan parti komponen.
Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Low berkata, MCA telah menyatakan bantahan secara jelas terhadap pembahagian kerusi berkenaan, malah turut mengemukakan surat rasmi bagi menyampaikan pendiriannya.
Bagaimanapun, katanya, Ab. Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka tetap mengumumkan senarai calon secara sepihak, selain mendakwa pembahagian kerusi itu telah mendapat persetujuan semua pihak dan tidak perlu diubah.
“Jika MCA tidak pernah bersetuju, dari mana datangnya dakwaan bahawa semua pihak sudah mencapai kata sepakat? Siapa yang memberikan persetujuan bagi pihak MCA? Adakah hanya kerana Pengerusi BN Melaka menganggap rundingan sudah selesai, maka semua parti komponen juga dianggap telah bersetuju?
“Sebagai Pengerusi BN Melaka, Ab. Rauf sememangnya bertanggungjawab menyelaras rundingan agihan kerusi antara parti-parti terlibat.
“Bagaimanapun, tanggungjawab menyelaras rundingan tidak bermakna beliau boleh membuat keputusan bagi pihak parti komponen lain, apatah lagi mengumumkan keputusan muktamad secara sepihak ketika masih terdapat bantahan yang jelas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, MCA telah menyatakan pendirian dengan jelas, oleh itu, Ab. Rauf sepatutnya mengambil serius perbezaan pandangan berkenaan dan mengadakan semula rundingan, bukannya menggunakan alasan kerusi sudah diagihkan untuk memaksa parti komponen menerima keputusan tersebut.
Katanya, BN merupakan sebuah gabungan politik yang terdiri daripada beberapa parti komponen, justeru, tiada mana-mana parti boleh menggunakan kedudukan sebagai peneraju rundingan untuk mengambil alih hak membuat keputusan parti komponen lain.
“Soal bagaimana kerusi diagihkan boleh dirundingkan, tetapi hak parti komponen untuk bersuara, berunding dan menentukan pendirian masing-masing tidak boleh diketepikan.
“Percanggahan kenyataan Ab. Rauf dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga wajar dipandang serius. Ab. Rauf menyatakan bahawa agihan kerusi sudah dimuktamadkan, tetapi Ahmad Zahid pula mengatakan masih ada ruang untuk rundingan mengenai senarai calon.
“Adakah Ab. Rauf menggunakan kuasa veto demi kepentingan peribadinya dan mengabaikan kepimpinan BN pusat?,” katanya.
Beliau berkata, MCA memahami keperluan mengambil kira landskap politik semasa dalam menentukan pembahagian kerusi namun, kerjasama politik dalam pilihan raya memerlukan rundingan secara adil dan diputuskan secara konsensus.
“Jika hari ini kerusi MCA boleh ditentukan tanpa persetujuan parti sendiri, adakah esok lusa parti komponen BN yang lain juga boleh menerima nasib sama?
“Kalau begitu, apakah lagi makna prinsip membuat keputusan secara bersama yang selama ini menjadi asas kerjasama dalam BN?” soalnya. – UTUSAN
The post MCA tuntut penjelasan Ab. Rauf umum calon tanpa persetujuan appeared first on Utusan Malaysia.






