
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menilai semula aspek keselamatan di laluan yang melalui kawasan hutan susulan tragedi yang meragut empat nyawa selepas sebuah kenderaan dihempap pokok tumbang di Jalan Lama Kuala Lumpur-Genting Highlands.
Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo berkata, langkah pencegahan lebih menyeluruh perlu dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian sama berulang, termasuk mempertimbang kewujudan kawasan bebas pokok sehingga dua kilometer di kiri dan kanan laluan yang dikenal pasti berisiko tinggi.
Katanya, cadangan itu antara langkah dalam memastikan jika pokok tumbang akibat faktor usia, hujan lebat atau angin kencang, ia tidak akan menghempap jalan raya sehingga mengancam keselamatan pengguna.
“Jalan seperti laluan ke Genting Highlands digunakan setiap hari oleh ribuan kenderaan termasuk pelancong, penduduk tempatan, bas dan lori. Keselamatan mereka perlu menjadi keutamaan.
“Kita tidak boleh hanya bertindak selepas berlaku tragedi. Sudah tiba masanya kerajaan melihat penyelesaian jangka panjang bagi mengelakkan kehilangan nyawa yang boleh dicegah,” katanya.
Sebelum ini, empat sekeluarga termasuk Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Mohd Radzi Rahimi, maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dihempap sebatang pokok besar ketika melalui Jalan Lama Kuala Lumpur-Genting Highlands.
Mengulas lanjut, Daniel turut berkata, sekiranya kawasan bebas pokok diwujudkan di laluan berisiko, pokok yang tumbang tidak akan menghempap jalan raya sebaliknya rebah ke kawasan hutan.
“Kalau pokok tumbang sekalipun, ia akan jatuh ke kawasan hutan dan bukannya ke atas jalan. Ini dapat mengurangkan risiko kenderaan, motosikal atau lori menjadi mangsa.
“Kita bercakap mengenai nyawa manusia. Jangan tunggu sehingga lebih ramai menjadi korban sebelum tindakan lebih tegas diambil,” katanya.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, cadangan itu bukan bertujuan menebang semua pokok, sebaliknya melibatkan kawasan tertentu yang dikenal pasti mempunyai risiko tinggi berdasarkan keadaan geografi dan kekerapan kejadian pokok tumbang.
“Pokok-pokok besar yang berada dalam jarak membahayakan jalan raya perlu dinilai semula. Keselamatan pengguna mesti mengatasi segala pertimbangan lain.
“Jika perlu, kerajaan boleh mengenal pasti laluan berisiko tinggi di seluruh negara dan melaksanakan langkah yang sama secara berperingkat, bukan hanya selepas sesuatu tragedi berlaku,” katanya.
Pada masa sama, Daniel turut mencadangkan kerajaan negeri, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Perhutanan serta pihak berkuasa tempatan menjalankan audit keselamatan secara berkala terhadap pokok-pokok besar berhampiran jalan utama.
Katanya, penggunaan teknologi seperti dron, pemetaan digital dan khidmat pakar arborikultur juga boleh dimanfaatkan bagi mengenal pasti pokok yang uzur atau berisiko tumbang sebelum mengundang bencana.
“Kita tidak boleh bergantung kepada aduan orang ramai semata-mata. Pemeriksaan perlu dilakukan mengikut jadual kerana pokok yang kelihatan kukuh di luar belum tentu berada dalam keadaan selamat.
“Kos melaksanakan langkah pencegahan mungkin tinggi, namun ia jauh lebih kecil berbanding kehilangan nyawa yang tidak ternilai. Tragedi ini harus menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya aspek keselamatan jalan raya diberi perhatian lebih serius dan tidak hanya diperkatakan apabila berlaku kemalangan,” katanya.-UTUSAN
The post MCCC Pahang cadang kawasan bebas pokok 2km di laluan berisiko appeared first on Utusan Malaysia.






