McDonald's peruntuk RM300,000 sambut hari jadi 12,000 anak yatim di seluruh negara
zulfadli
13/10/2023 - 10:33
KUALA LUMPUR 13 Okt - McDonald's Malaysia memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi menganjurkan majlis sambutan hari jadi melibatkan lebih 12,000 anak yatim dari 400 rumah kebajikan terpilih di seluruh negara.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, pihaknya terus mengukuhkan komitmen kemasyarakatannya dengan penganjuran bulan komuniti pada bulan ini.
Katanya, bulan komuniti merupakan salah satu inisiatif kemasyarakatan di bawah Program Komuniti McDonald’s dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia), yang bertujuan mewujudkan impak positif dalam kalangan masyarakat di sekitar lokasi operasi McDonald’s.
"Program Komuniti McDonald’s & RMHC merupakan payung besar bagi segenap aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan sepanjang tahun oleh McDonald’s Malaysia, termasuklah pelaksanaan Bulan Komuniti ini.
"Bulan Komuniti bakal memberi fokus utama terhadap golongan kanak-kanak kurang bernasib baik. Sehubungan itu, McDonald’s Malaysia mengambil pendekatan melalui majlis sambutan hari jadi bagi menceriakan dan mencipta kenangan manis untuk anak-anak yatim.
"Ini cara kami menyumbang kembali kepada masyarakat, yang sentiasa menyokong kami selama ini," katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu, majlis sambutan hari jadi yang diadakan di Yayasan An-Nur Maisarah di Chemor, Perak, baru-baru ini merupakan antara majlis sambutan hari jadi terawal yang dianjurkan bagi membuka tirai Bulan Komuniti McDonald’s pada tahun ini.

RMHC Malaysia turut menyokong pelaksanaan Bulan Komuniti tahun ini dengan pemberian Pek Kembali Ke Sekolah kepada anak-anak yatim. Sebanyak 90 Pek Kembali Ke Sekolah disampaikan kepada anak-anak yatim di yayasan tersebut.
Majlis sambutan hari jadi sebegini akan terus diadakan sehingga penghujung Oktober, sama ada di rumah kebajikan kanak-kanak atau di restoran McDonald’s.


Sebagai kemuncak dan mengakhiri pelaksanaan Bulan Komuniti McDonald’s tahun ini, buat pertama kalinya, McDonald’s Malaysia akan menganjurkan Karnival Famili Mekdi yang merupakan acara terbuka untuk orang ramai dengan pelbagai aktiviti menarik.
Bulan Komuniti pertama kali dilaksanakan pada 2017 dan ia sarat dengan pelbagai aktiviti menarik untuk kanak-kanak kurang bernasib baik.

Namun, selepas situasi pandemik yang bertambah baik pada 2021, McDonald’s Malaysia memilih pendekatan menganjurkan majlis sambutan hari jadi bagi memastikan pelaksanaan aktiviti yang lebih berfokus dan berimpak besar untuk anak-anak yatim. - DagangNews.com


