MCLAREN LAKAR SEJARAH

5 Aug 2025 • 2:52 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

Pasukan McLaren telah mencatat satu lagi detik bersejarah apabila meraih kemenangan ke-200 dalam perlumbaan Formula 1 menerusi kejayaan cemerlang di Grand Prix Hungary pada 3 Ogos 2025.

Dalam perlumbaan tersebut, Lando Norris muncul juara diikuti rakan sepasukan Oscar Piastri di tempat kedua sekali gus menghadiahkan McLaren satu keputusan 1-2 yang begitu mengagumkan.

Kejayaan ini menjadikan McLaren sebagai pasukan kedua dalam sejarah Formula 1 yang mencapai 200 kemenangan selepas Ferrari.

Ketua Pegawai Eksekutif McLaren, Zak Brown, menyifatkan perlumbaan tersebut sebagai ‘hampir sempurna’, hasil gabungan strategi pintar, aksi mantap kedua-dua pemandu serta prestasi pit stop yang lancar dan tepat.

Norris berjaya mengekang asakan sengit daripada Piastri hingga ke garisan penamat dengan beza masa hanya 0.698 saat membuktikan kecekapan dan ketenangannya dalam situasi tekanan tinggi. Kemenangan ini turut mengukuhkan kedudukan McLaren dalam perebutan kejuaraan musim 2025.

Kemenangan sulung McLaren dalam sejarah F1 dicapai pada 9 Jun 1968 dalam Grand Prix Belgium. Menariknya, kejayaan tersebut diraih oleh pengasas pasukan sendiri, Bruce McLaren yang ketika itu tidak menyedari bahawa beliau telah mencipta sejarah buat pasukannya sendiri.

Sebelum menjadi pasukan pencabar utama, Bruce McLaren telah membina jentera lumba sendiri dan bertindak sebagai pemilik serta pemandu. Perlumbaan bersejarah itu dimenangi dengan jentera model M7A yang dilengkapi enjin Cosworth DFV menandakan bermulanya era kejayaan McLaren dalam dunia Formula 1.

Kemenangan ke-200 di Hungary bukan sekadar angka tetapi simbol kepada ketekunan, inovasi dan konsistensi McLaren sepanjang lebih lima dekad dalam sukan ini.

Dari kemenangan bersejarah Bruce McLaren pada 1968 hingga ke kejayaan berganda Lando Norris dan Oscar Piastri hari ini, McLaren terus mengukuhkan statusnya sebagai antara pasukan paling dihormati dan berprestij di pentas Formula 1.

Dengan momentum cemerlang ini, McLaren kini mendahului dalam Kejuaraan Pengeluar manakala perebutan kejuaraan antara Norris dan Piastri menjanjikan persaingan sengit dan perlumbaan yang mendebarkan dalam baki musim 2025

Teruskan Bersama Four Wheels..!

The post MCLAREN LAKAR SEJARAH appeared first on TW Media.

View Original Article