MCMC akan jumpa X minggu depan, bincang Grok

LocalPolitics
14 Jan 2026 • 5:06 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengadakan pertemuan dengan penyedia platform media sosial X Corp berhubung kontroversi aplikasi kecerdasan buatan (AI) miliknya iaitu Grok yang telah digantung sementara baru-baru ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata MCMC telah menghubungi X pada 10 pagi tadi dan cuba mengatur pertemuan itu pada minggu depan.

"Beberapa perkara yang akan disahkan sebelum pertemuan itu. Mereka ada berhubung dan sekarang kita sedang nantikan maklum balas," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet , hari ini.

Pada Selasa, Fahmi berkata, MCMC sedang mempertimbangkan untuk memfailkan saman terhadap platform X kerana gagal menjamin keselamatan pengguna di Malaysia.

Fahmi berkata, kerajaan pernah mengambil tindakan serupa dengan mengheret Telegram ke mahkamah.

Terdahulu, MCMC mengarahkan sekatan sementara ke atas akses kepada Grok, alat kecerdasan buatan (AI) dibangunkan oleh xAI dan diintegrasikan ke dalam platform X, susulan penyalahgunaan berulang melibatkan kandungan lucah serta berbahaya.

MCMC memaklumkan sekatan itu berkuat kuasa 11 Januari selepas X Corp. dan xAI LLC gagal melaksanakan langkah teknikal serta kawalan moderasi yang berkesan, meskipun telah diberi teguran dan notis rasmi sebelum ini.

Menurut MCMC, Grok didapati berulang kali disalahgunakan untuk menghasilkan kandungan lucah, eksplisit seksual, tidak senonoh dan keterlaluan, termasuk imej terubah suai tanpa kebenaran membabitkan wanita serta kanak-kanak.

Sementara itu, Fahmi berkata beliau menghadiri mesyuarat dengan Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian, yang dipengerusikan oleh Tan Sri Hasnah Hashim, serta satu lagi mesyuarat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, bagi membincangkan mengenai Akta Keselamatan Dalam Talian (Onsa).

Menurut Fahmi, perbincangan menumpukan kepada cabaran semasa dalam pelaksanaan Onsa, yang telah berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

"Jawatankuasa ini akan membantu memantau dan mentakrifkan apa yang dimaksudkan dengan bahaya dalam talian.

"Saya berharap jawatankuasa ini akan berfungsi dengan baik, cekap dan bebas untuk memastikan ruang siber selamat untuk kanak-kanak dan keluarga," katanya.

Disember lalu, MCMC dalam kenyataannya memaklumkan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) menggariskan kerangka perundangan bagi meningkatkan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan terhadap pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.
.
Menurut MCMC, ONSA menetapkan tanggungjawab dan kewajipan ke atas pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani kemudaratan dalam talian, termasuk pelaksanaan langkah keselamatan mengikut tahap risiko, perlindungan khusus untuk kanak-kanak serta mekanisme pelaporan dan bantuan kepada pengguna. - 14 Januari, 2026

The post MCMC akan jumpa X minggu depan, bincang Grok appeared first on Scoop.