
MCMC Gesa Pengguna Apple Kemas Kini iOS Susulan Risiko Keselamatan
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa pengguna Apple untuk mengemas kini iOS berikutan risiko keselamatan.
Menerusi satu kenyataan pada Khamis, MCMC berkata Apple telah mengeluarkan kemas kini keselamatan yang penting bagi menangani pelbagai kerentanan. Ia termasuk rantaian eksploit yang dikenali sebagai DarkSword yang menjejaskan peranti iOS, khususnya iPhone Apple.
"Kerentanan ini boleh dieksploitasi secara serentak untuk menjejaskan peranti terlibat, sekali gus berpotensi membolehkan akses tanpa kebenaran serta pelbagai aktiviti berniat jahat.
"Oleh itu, pengguna dinasihatkan untuk mengemas kini peranti mereka kepada versi iOS terkini bagi memastikan perlindungan berterusan," katanya.
Tambah MCMC, peranti yang tidak dikemas kini mungkin terdedah kepada risiko keselamatan seperti akses tanpa kebenaran kepada data peranti dan maklumat peribadi, Pemasangan perisian pengintip (spyware) atau perisian hasad, Kecurian mesej, fail atau data sensitif lain dan Pemantauan atau pengawasan peranti tanpa kebenaran.
MCMC juga amat mengesyorkan pengguna untuk mengemas kini peranti Apple kepada versi iOS terkini dengan segera.
Pengguna juga dinasihatkan untuk mengaktifkan kemas kini automatik bagi menerima tampalan keselamatan pada masa hadapan.
"Elakkan melayari laman web yang mencurigakan atau tidak dikenali, hanya memasang aplikasi daripada Apple App Store rasmi dan memulakan semula peranti selepas kemas kini serta sentiasa peka terhadap sebarang tingkah laku peranti yang luar biasa," kata MCMC lagi.
Pihaknya turut menggalakkan semua pengguna untuk mengamalkan tabiat digital selamat, memastikan peranti sentiasa dikemas kini serta hanya merujuk kepada maklumat daripada sumber rasmi.

