Sama ada kita sedar atau tidak, sebelum ini pengguna yang tidak mempunyai akaun WhatsApp akan dilabel sebagai “tiada akaun” dan mereka perlu memuat turun aplikasi terlebih dahulu untuk menyertai perbualan. Namun dengan kemas kini baharu yang bakal hadir, proses ini menjadi lebih mudah kerana tetamu kini boleh terus masuk ke dalam perbualan tanpa perlu membuat akaun terlebih dahulu.
WhatsApp kini menguji ciri Guest Chats untuk pengguna beta di Android dan iOS. Melalui fungsi ini, pengguna boleh menjana pautan jemputan bagi memulakan perbualan dengan individu yang tidak mempunyai akaun WhatsApp. Tetamu hanya perlu membuka pautan tersebut melalui pelayar tanpa perlu memasang aplikasi dan dengan itu mereka boleh berbual terus dengan pengguna WhatsApp.

Ciri ini dibangunkan dengan penyulitan hujung-ke-hujung (E2EE) di mana hanya peserta dalam perbualan boleh membaca mesej yang dihantar. Walaupun begitu, Guest Chats mempunyai beberapa batasan kerana ia direka khusus untuk penggunaan sementara.
Antaranya, tetamu tidak boleh menyertai kumpulan, menghantar media seperti gambar atau video, dan mereka juga tidak boleh membuat panggilan suara atau video. Sebaliknya, mereka hanya boleh menghantar mesej teks asas, sekali gus memastikan fungsi ini kekal ringkas tetapi tetap selamat untuk komunikasi sementara.
Selain itu, Guest Chats akan tamat secara automatik selepas 10 hari tanpa aktiviti, dan pengguna perlu menjana pautan baharu sekiranya ingin meneruskan perbualan. Bagi mengekalkan kawalan sepenuhnya, WhatsApp turut menyediakan pilihan untuk menyekat tetamu, sama seperti menyekat akaun biasa, agar pengguna sentiasa dapat mengurus perbualan mereka dengan lebih selamat dan teratur.
Setakat artikel ini ditulis, ciri Guest Chats sekadar ditawarkan kepada kalangan pengguna beta terpilih terlebih dahulu dan belum dapat dipastikan bila ia akan dilancarkan secara rasmi untuk semua pengguna.



