MCMC lantik peguam cara, prosiding undang-undang ke atas X dalam masa terdekat

LocalPolitics
13 Jan 2026 • 4:38 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melantik peguam cara bagi tindakan undang-undang terhadap X Corp (dulunya dikenali sebagai Twitter) dan xAI LLC, kerana kegagalan platform itu memastikan keselamatan pengguna di Malaysia berkaitan penggunaan Grok.

Dalam kenyataannya, MCMC memaklumkan tindakan dijalankan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan prosiding undang-undang akan dimulakan dalam masa terdekat ke atas platform tersebut.

Menurut MCMC, notis telah dikeluarkan kepada X Corp. dan xAI LLC pada 3 dan 8 Januari lalu yang mengkehendaki penghapusan kandungan menyalahi undang-undang namun tiada tindakan pemulihan telah diambil.

Beliau memberitahu, MCMC telah mengenal pasti penyalahgunaan Grok untuk menjana dan menyebarkan kandungan berbahaya dan ini termasuk kandungan lucah berunsur seksual secara eksplisit, tidak senonoh, jelik melampau, serta imej manipulasi tanpa persetujuan.

“Kandungan yang didakwa melibatkan wanita dan kanak-kanak, merupakan perkara yang amat membimbangkan dan perlakuan sedemikian menyalahi undang-undang Malaysia serta menjejaskan komitmen keselamatan yang dinyatakan oleh entiti berkenaan.

“X Corp. dan XAI LLC boleh dipertanggungjawabkan walaupun kandungan tersebut dijana oleh pengguna.

“Mereka kekal mempunyai kawalan terhadap reka bentuk, pelaksanaan, mekanisme penyeliaan, serta langkah mitigasi risiko bagi Grok,’’ katanya.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, MCMC sedang meneliti tindakan perundangan terhadap platform X, susulan kegagalan aplikasi kecerdasan buatan (AI) miliknya Grok, mematuhi undang-undang Malaysia berkaitan keselamatan dalam talian.

Fahmi berkata, langkah itu dipertimbangkan berikutan maklum balas yang diterima MCMC daripada pihak X didapati tidak memadai dan bersifat proforma (sekadar mengikuti tata cara yang berlaku).

Dalam pada itu, MCMC memberitahu, tanggungjawab tidak boleh diketepikan apabila perlindungan sistemik gagal berfungsi.

“MCMC mengambil maklum kegagalan X Corp. dan XAI LLC untuk menguatkuasakan dasar serta kawalan dalaman mereka sendiri.

“Kegagalan ini berkemungkinan telah memudahkan berlakunya aktiviti dalam talian yang menyalahi undang-undang di Malaysia,’’ katanya.

MCMC memberitahu, ia kekal komited untuk menegakkan undang-undang Malaysia dan melindungi kepentingan awam.

Jelas MCMC, semua platform digital yang beroperasi di Malaysia atau memberi kesan kepada Malaysia hendaklah mematuhi sepenuhnya semua keperluan undang-undang dan kawal selia yang berkenaan. - 13 Januari, 2026

The post MCMC lantik peguam cara, prosiding undang-undang ke atas X dalam masa terdekat appeared first on Scoop.