
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memperoleh pengakiman ingkar terhadap individu tidak dikenali bagi dua saluran Telegram iaitu 'Edisi Siasat' dan Edisi Khas' berikutan penyebaran kandungan palsu, menghina dan mengancam, yang mensasarkan pelbagai pihak di Malaysia.
Menurut Peguam MCMC, Datuk S.N. Nair, penghakiman itu menandakan langkah penting dalam membendung penyalahgunaan platform dalam talian tanpa nama untuk menyebarkan maklumat palsu, intimidasi dan tuduhan berniat jahat.
"Perintah Mahkamah Tinggi mencerminkan kesungguhan badan kehakiman Malaysia dalam menangani penyalahgunaan saluran komunikasi digital dan kemudaratan yang dibawa kepada individu serta institusi awam,'' katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahkamah Tinggi, katanya telah memutuskan beberapa perkara kepada MCMC iaitu:
Satu pengisytiharan bahawa kedua-dua pentadbir telah membenarkan, memudahkan dan merelakan penggunaan saluran mereka untuk menerbit dan mengedarkan kandungan berbahaya serta memfitnah.
Satu injunksi mandatori yang memaksa kedua-dua pentadbir untuk segera dan secara kekal mengeluarkan semua bahan palsu, mengancam dan menghina tersebut daripada saluran berkenaan.
Injunksi pengharaman yang menghalang mereka daripada menerbitkan semula, menyebarkan atau memuat naik sebarang kandungan palsu atau berbahaya yang serupa pada masa hadapan.
Ganti rugi am dan teladan, yang akan dinilai oleh Mahkamah.
Kos guaman atas dasar peguam dan klien diberikan kepada MCMC.
Menurutnya, penghakiman berkenaan mencerminkan kesungguhan badan kehakiman Malaysia dalam menangani penyalahgunaan saluran komunikasi digital dan kemudaratan yang dibawa kepada individu serta institusi awam.
"Beliau berkata walaupun individu yang mengendalikan saluran tersebut masih belum dikenal pasti, perintah itu mengekalkan hak MCMC untuk menuntut ganti rugi dan kos sebaik sahaja identiti mereka diketahui.
"Perintah yang diperoleh memberi kuasa kepada MCMC untuk meneruskan usaha penguatkuasaan, serta mengekalkan haknya untuk menuntut semua ganti rugi dan kos guaman sekiranya identiti individu di sebalik saluran ini dikenal pasti pada masa hadapan,'' katanya.
MCMC, ujar beliau kekal komited untuk memastikan platform digital tidak dieksploitasi sehingga mengancam ketenteraman awam, merosakkan reputasi atau menyebarkan kandungan menyalahi undang-undang.
"Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan dan penyedia perkhidmatan untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang Malaysia,'' katanya. - 14 November, 2025
The post MCMC peroleh penghakiman ingkar terhadap pentadbir dua saluran Telegram ‘Edisi Siasat’, ‘Edisi Khas’ appeared first on Scoop.

