
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan seorang individu yang disyaki menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan pembekalan kira-kira 329,000 tong bahan api diesel ke Filipina.
MCMC dalam satu kenyataan berkata siasatan awal mengesahkan bahawa diesel tersebut adalah milik syarikat perdagangan Vitol, dan bukan milik Petronas atau Kerajaan Malaysia.
Peranti komunikasi yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan turut disita bagi membantu siasatan.
Setakat 14 April, sebanyak 47 kertas siasatan telah dibuka melibatkan penyebaran berita palsu berkaitan krisis tenaga global di media sosial dan platform digital susulan konflik di Asia Barat.
"Antara dakwaan tidak benar yang tular termasuk kenaikan harga bahan api jauh melebihi pengumuman rasmi, tarif elektrik meningkat, kapal Malaysia di Selat Hormuz didakwa membayar tol kepada Iran, subsidi Budi95 kononnya diberikan kepada warga Singapura, serta penghantaran 329,000 tong diesel syarikat Vitol ke Filipina yang dikaitkan dengan Malaysia.
“Kesemua siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan," kata kenyataan itu.
MCMC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital untuk mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” tegas suruhanjaya itu lagi. - 15 April, 2026
The post MCMC siasat dakwaan palsu penghantaran diesel ke Filipina appeared first on Scoop.






