amree26/03/2026 - 16:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Mac — MCOM Holdings Berhad melupuskan kepentingan dalam tiga syarikatnya di Thailand dan sebuah lagi di Labuan dengan jumlah pertimbangan tunai keseluruhan kira-kira RM514.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu melalui penasihat Sierac Corporate Advisers Sdn Bhd menyatakan sudah memeterai dua perjanjian jual beli saham (SSA) bersyarat dengan dua individu.
Bagi pelupusan di Thailand, ia bersetuju menjual ekuiti dalam MCOM Messaging (Thailand) Company Limited (MMT), Ivalent Company Limited dan Streamer Tech Company Limited kepada Chew Hwai Geeng.
"Harga jualan yang dipertimbangkan ialah 1,000 baht (kira-kira RM122), dengan pelupusan tersebut melibatkan pegangan 47.53% dalam MMT, 34.99% dalam Ivalent dan 5.00% dalam Streamer," jelas MCOM.
Selain itu, ia turut melupuskan keseluruhan 100% kepentingan ekuiti dalam MCatch (L) Berhad (MML) yang berpangkalan di Labuan kepada Chew Sau Wai dengan pertimbangan tunai AS$100 (kira-kira RM392).

Menurut kumpulan tersebut, langkah penjualan ini diambil selaras dengan strategi perniagaan kumpulan untuk menstruktur semula operasi dengan melepaskan unit-unit yang mencatatkan kerugian.
Usaha pelupusan itu turut membolehkan kumpulan berkenaan dapat meningkatkan fokus operasi dan memperuntukkan semula sumber yang sedia ada ke arah operasi teras dan inisiatif pertumbuhan.
"Walaupun dijangka mengakibatkan anggaran kerugian proforma sebanyak RM4.89 juta kepada kumpulan, MCOM tidak lagi perlu menanggung kerugian berulang syarikat terbabit pada masa hadapan," katanya.
Hasil daripada pelupusan tersebut yang berjumlah RM514 itu akan digunakan sebagai modal kerja kumpulan, dengan cadangan ini dijangka selesai sepenuhnya menjelang suku kedua tahun 2026. - DagangNews.com




