'Kepala, badan terpisah, tubuh ibu dipot*ng...' Bau busuk temukan 3 beranak tak bernyawa dalam rumah, anak pernah sakit mental. Ini kronologinya

26 Mar 2026 • 9:47 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

KETIKA umat Islam masih lagi meraikan Aidilfitri, sebuah keluarga di Kampung Belau, Merbok dirundung pilu apabila tiga ahli keluarga ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tragis.

Bau busuk dihidu rakan membawa kepada penemuan mengejutkan mayat tiga beranak iaitu pasangan suami isteri, Zikri Abdul Rahman, 65, dan Suraya Man, 53, serta anak lelaki mereka, Muhammad Shakir Zufayri Abdul Aziz, 29 , pada awal pagi Khamis.

Paling tragis, kepala pasangan suami isteri yang bekerja sebagai penoreh getah dan pekerja pembersihan itu didapati terpisah manakala anggota badan si ibu dipercayai dipotong untuk dilupuskan!

image is not available

Sementara itu, mayat Muhammad Shakir Zufayri pula ditemui di tingkat atas rumah dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar pada leher.

Berikut adalah info dan fakta penemuan kes didedahkan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan kepada Sinar Harian:

1-Polis menerima maklumat daripada orang awam tentang ketiadaan pasangan tersebut hilang selama tiga hari dan terhidu bau busuk yang kuat dari rumah keluarga tersebut kira-kira pada pukul 12.30 tengah malam, Rabu.

2-Anggota polis yang tiba di rumah berkenaan mendapati ia dalam keadaan gelap dan berkunci dari dalam.

3-Bau busuk terlalu kuat sehingga memaksa pihak polis memecah masuk.

4-Hasil pemeriksaan, mayat Zikri dan Suraya ditutupi dengan karpet serta pakaian di bahagian dapur.

5-Polis juga mendapati terdapat kesan darah terpercik dan cubaan melupuskan mayat di ruang tamu.

image is not available

6-Jelas Hanyan, pasangan berkenaan dipercayai meninggal dunia lebih 48 jam sebelum ditemui manakala mayat anak mereka dipercayai masih baharu.

7-Beberapa jenis senjata tajam turut ditemui berdekatan mayat Muhammad Shakir.

8-Siasatan awal awal mendapati kejadian itu menjurus kepada perbuatan bunuh, namun motif masih dijejaki.

9-Jelas Hanyan dalam sidang media, kejadian yang disasat sebagai perbuatan bunuh dipercayai berlaku antara pukul 8 malam Isnin lalu hingga penemuan mayat. Motif kejadian masih disiasat.

10-Antara maklumat lain yang diterima ialah Muhammad Shakir pernah mengalami gangguan mental pada tahun 2018 ke 2019, namun tidak pernah mengganggu masyarakat sekeliling.

11-Keluarga berkenaan memiliki seorang lagi anak perempuan bertugas sebagai tentera dan baharu sahaja kembali ke tempat bertugas selepas sambutan hari raya.

12-Difahamkan, setakat ini, polis memanggil lima saksi untuk memberi keterangan.

13-Kesemua mayat telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

s/h: Janji ke kenduri tak kesampaian, tragedi mengejutkan rakan

Sementara itu, rakan pasangan suami isteri berkenaan dikenali sebagai Hashim Abdul Aziz, 66, mendedahkan kehilangan mula disedari apabila gagal dihubungi selama beberapa hari.

Malah, cubaan ahli keluarganya untuk menghubungi juga gagal.

"Keluarganya cuba telefon mangsa, tetapi tidak berjawab. Kami kemudian berkumpul di rumah adiknya untuk berbincang sebelum membuat laporan polis sekitar jam 12 tengah malam pada Rabu,” katanya.

Menurut Hashim peribadi Zikri disifatkan sebagai bergaul dengan masyarakat dan senang berkawan.

Dedahnya lagi, Zikri sering hadir ke masjid untuk solat berjemaah. Jelasnya, mereka sepatutnya menghadiri kenduri di Jeniang dan telah merancang untuk berkumpul di rumahnya sebelum bergerak bersama.

Tragedi menimpa pasangan suami isteri berkenaan mengejutkan rakan-rakan yang lain hingga membatalkan hasrat untuk ke kenduri berkenaan.

Sumber: Sinar Harian, 2