SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya meneliti secara lebih serius proses tawaran pengambilalihan IJM Corporation Berhad (IJM) oleh Sunway Berhad (Sunway) yang didakwa dibuat pada harga jauh lebih rendah daripada nilai sebenar syarikat tersebut.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya memandang serius perkembangan berkenaan susulan tawaran pengambilalihan yang dilaporkan pada harga RM3.15 sesaham.
**media[3463293]**
Ini kerana katanya, berdasarkan penilaian bebas oleh penasihat, nilai sebenar syarikat berkenaan dianggarkan berada dalam lingkungan RM5.84 hingga RM6.48 sesaham.
"Perbezaan yang sangat besar ini, diskaun antara 46 peratus hingga 52 peratus daripada nilai sebenar telah menimbulkan persoalan serius dari sudut tadbir urus korporat, integriti proses penilaian, serta perlindungan kepentingan pemegang saham.
"MCW berpandangan bahawa dalam mana-mana transaksi korporat berskala besar yang melibatkan syarikat tersenarai awam, ketelusan, keadilan kepada pemegang saham minoriti dan integriti dalam proses rundingan adalah prinsip asas yang tidak boleh dikompromi.
"Sekiranya terdapat pihak dalaman atau mana-mana individu yang cuba mempengaruhi keputusan korporat sehingga menyebabkan aset strategik dijual pada harga yang jauh lebih rendah daripada nilai sebenar, tindakan tersebut boleh dianggap sebagai pengkhianatan terhadap amanah pemegang saham dan pasaran modal negara," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Penasihat bebas IJM pada Jumaat dilapor berkata, tawaran pengambilalihan oleh Sunway pada harga RM3.15 sesaham adalah tidak adil dan tidak munasabah sekali gus mengesyorkan pemegang saham menolak tawaran itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, IJM berkata, penasihat yang dilantik, M&A Securities Sdn Bhd berkata harga tawaran itu adalah pada diskaun antara RM2.69 hingga RM3.33, iaitu kira-kira 46.1 peratus hingga 51.4 peratus berbanding anggaran nilai saham IJM dalam lingkungan RM5.84 hingga RM6.48.
Mengulas lanjut, Jais berkata, pasaran modal Malaysia hanya akan kekal diyakini pelabur sekiranya standard integriti, akauntabiliti dan tadbir urus korporat ditegakkan tanpa kompromi.
Ujarnya, sebarang cubaan untuk memperkayakan pihak tertentu melalui transaksi korporat yang merugikan pemegang saham mesti disiasat secara telus dan menyeluruh.
"Integriti dalam dunia korporat adalah sama pentingnya dengan integriti dalam sektor awam," katanya.
