MEASAT sedia jalur lebar berkelajuan tinggi percuma kepada dua Asrama Astro Kasih di Kapit, Sarawak dan Kota Marudu, Sabah
zulfadli
10/08/2023 - 16:31
KUALA LUMPUR 10 Ogos - MEASAT Global Bhd bekerjasama dengan Astro Malaysia Holdings Bhd untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi CONNECTme NOW percuma kepada dua Asrama Astro Kasih di Malaysia Timur.
Inisiatif itu kini memanfaatkan lebih 200 pelajar sekolah rendah dari asrama terpencil di Sekolah Kebangsaan (SK) Magandai (Kota Marudu) di Sabah dan SK Sungai Paku (Kapit) di Sarawak.
Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim berkata, pihaknya berbesar hati bekerjasama dengan Astro untuk menyokong keperluan ketersambungan pelajar serta guru dan pentadbir di Asrama Astro Kasih.
"Seperti yang kita alami semasa pandemik, apabila majoriti pelajar Malaysia belajar dalam talian, adalah penting untuk mempunyai sambungan internet berkelajuan tinggi yang stabil untuk anak-anak kita belajar dengan berkesan.
"Walaupun pelajaran dalam bilik darjah kembali bersidang, mempunyai akses kepada sumber pembelajaran dalam talian memperkasakan pelajar dengan alatan tambahan untuk meningkatkan hasil akademik mereka.
"Asrama Astro Kasih ini membantu pelajar menjimatkan masa perjalanan harian mereka, manakala perkhidmatan CONNECTme NOW di setiap asrama membantu pelajar mengakses internet dengan mudah," katanya dalam kenyataan media di sini.
MEASAT sedang memasang jalur lebar satelit CONNECTme NOW dengan kelajuan sehingga 100 Mbps di asrama yang mengambil bahagian.

Asrama yang tidak mempunyai kuasa grid juga akan dipasang dengan infrastruktur tenaga solar untuk menyokong peralatan CONNECTme NOW. Impak sosial program ini akan dikaji dari semasa ke semasa untuk menentukan cara untuk meningkatkan impaknya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith berkata, pihaknya mengalu-alukan sumbangan perkhidmatan jalur lebar satelit CONNECTme NOW daripada MEASAT untuk Asrama Astro Kasih.
"Usaha untuk menambah baik kemudahan di asrama ini untuk meningkatkan akses kepada sumber akademik dan kesejahteraan pelajar adalah antara cara Astro bekerjasama dengan rakan kongsi yang sehaluan.
"Melihat anak-anak dapat menjimatkan masa yang diluangkan sebelum ini dalam perjalanan harian mereka dan menyalurkannya kepada semakan akademik serta aktiviti kokurikulum dan riadah seterusnya mendorong kami untuk melakukan lebih banyak lagi untuk mereka," katanya. - DagangNews.com
