Medan Niaga Kampung Melayu Majidee jadi lokasi pertama pelaksanaan Baucar Kasih Johor

LocalBusiness & Finance
6 May 2026 • 4:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Medan Niaga Kampung Melayu Majidee jadi lokasi pertama pelaksanaan Baucar Kasih Johor Image from: Medan Niaga Kampung Melayu Majidee jadi lokasi pertama pelaksanaan Baucar Kasih Johor liza06/05/2026 - 16:13 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Mei – Kerajaan Negeri Johor melancarkan inisiatif Baucar Kasih Johor sebagai satu langkah baharu bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, di samping merancakkan ekonomi setempat secara lebih tersusun dan mampan.

 

Program berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu selepas pelaksanaan projek rintis menunjukkan impak positif kepada komuniti dan peniaga kecil.

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata sebagai permulaan, projek rintis Baucar Kasih Johor dilaksanakan di Medan Niaga Kampung Melayu Majidee dengan penglibatan lebih 4,000 ketua isi rumah yang menerima baucar bernilai RM200 seorang.

 

“Baucar tersebut boleh digunakan untuk mendapatkan makanan dan keperluan harian di medan selera berkenaan, sekali gus memastikan bantuan yang disalurkan memberi manfaat terus kepada perbelanjaan harian rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kerajaan negeri menyifatkan inisiatif itu bukan sekadar bantuan kebajikan, sebaliknya satu pendekatan ekonomi mikro yang mampu menggalakkan perniagaan usahawan setempat.

 

Dengan adanya kuasa beli melalui baucar, peniaga makanan dan premis kecil di kawasan terbabit dijangka menikmati peningkatan jumlah pelanggan, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan mereka.

 

Beliau berkata inisiatif itu diinspirasikan daripada model pengurusan pusat makanan di Geylang Serai, Singapura yang menekankan aspek kebersihan, keteraturan operasi serta pengalaman pengguna yang lebih baik.

 

Seiring dengan pelaksanaannya, kerajaan negeri memberi penekanan terhadap pemantauan rapi termasuk aspek kebersihan, kualiti makanan dan tahap perkhidmatan bagi memastikan standard yang tinggi dapat dikekalkan.

 

Pendekatan ini dilihat mampu mewujudkan ekosistem perniagaan makanan yang lebih profesional, berdaya saing dan menarik minat lebih ramai pengunjung, termasuk dari luar kawasan.

 

Sekiranya projek rintis ini mencapai kejayaan seperti yang disasarkan, kerajaan negeri bercadang memperluaskan pelaksanaannya ke semua PBT di Johor secara berfasa dalam tempoh akan datang.

 

Secara keseluruhan, Baucar Kasih Johor dijangka bukan sahaja memberi kelegaan kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi tempatan yang lebih inklusif dan mampan di negeri itu. - DagangNews.com

Terkini standard