
Kota Kinabalu: Sabah FC akan menentang pasukan Liga Perdana Singapura Geylang International FC dalam aksi persahabatan di Stadium Likas bermula jam 7.30 malam ini.
Ia adalah perlawanan pramusim pertama Rhinos yang diadakan di laman sendiri selepas jelajah Thailand mereka baru-baru ini sebagai persediaan untuk permulaan musim baharu Liga Super.
Scott Ollerenshaw yang merupakan pengarah teknikal Sabah FC dalam sidang akhbar pada Jumaat berkata perlawanan malam ini adalah penting untuk pasukan.
“Ini adalah permulaan untuk perjalanan baharu atau pasukan. Tahun lepas memang hebat dengan kemampuan kami membawa masuk pemain seperti Baddrul Bakhtiar, Rizal Ghazali dan lain-lain.
“Bagaimanapun, ini musim baharu dan berbeza dan kami hanya ada tiga lagi perlawanan sebelum aksi pembukaan musim menentang PDRM pada 25 Februari ini.
“Perlawanan menentang Geylang amat penting dari segi persiapan kami kerana jurulatih berkemungkinan akan mengambil peluang untuk mendapatkan kombinasi terbaik dan persefahaman dalam kalangan pemain terutamanya juga dengan penambahan beberapa muka baharu,” katanya.
Beliau juga menggesa penyokong tempatan untuk merebut peluang yang jarang berlaku untuk menyaksikan salah satu pasukan terkemuka Singapura yang mempunyai banyak sejarah beraksi di sini.
Baddrul yang turut hadir bersetuju bahawa perlawanan itu akan menyediakan platform bersesuaian untuk Datuk Ong Kim Swee memilih kombinasi terbaik dan berjanji pasukan akan memberikan yang terbaik.
Sementara itu, ketua jurulatih Geylang International FC Mohd Noor Ali berkata mereka cukup menantikan perlawanan itu.
“Kami mempunyai pasukan yang sangat muda musim ini dengan beberapa pemain berusia 18-19 tahun dan kami mempunyai dua perlawanan yang baik menentang Pulau Pinang dan Kedah sebelum datang ke sini.
“Kami sangat berterima kasih kepada Sabah FC kerana memberi kami peluang untuk menentang mereka dan kami sangat menantikan perlawanan ini.”
Kapten mereka Joshua Pereira mengakui Sabah FC adalah pasukan yang jauh lebih baik tetapi berkata ia akan tetap menjadi perlawanan kompetitif walaupun ia hanya perlawanan persahabatan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


