Medevac: Tiga kanak-kanak Orang Asli dipindahkan ke Hospital Gua Musang

14 Jun 2023 • 1:26 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan dua penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) dari Pos Gob dan Pos Simpor, dekat sini, membawa tiga kanak-kanak Orang Asli menerima rawatan lanjut di Hospital Gua Musang (HGM), semalam.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata dua adik-beradik dari Pos Gob, Dierren Nick Farizul sembilan bulan mengalami jangkitan kuman di paru-paru, manakala abangnya Austin Daniell Farizul, tiga tahun, mengalami radang paru-paru.

Tambah beliau pesakit Nur Syafira Shaari, 12, dari Pos Simpor mengalami pendarahan gigi, kuning mata dan berkeadaan pucat yang berlarutan selama seminggu.

“Kesemua pesakit diiringi ibu dan bapa masing-masing serta dipindahkan menggunakan pesawat jenis Mi-17-IV dengan dua penerbangan berbeza yang berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang Selangor pada 9.42 pagi dan tiba di destinasi pertama di Pos Gob pada 10.58 pagi dan penerbangan kedua ke Pos Simpor tiba pada 11.51 pagi.

“Ketiga-tiga pesakit dari Pos Gob dan Pos Simpor mengalami simptom yang sama iaitu demam, batuk dan selesema selain sukar bernafas sejak tiga hari lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Hasrizal berkata semua pesakit dipindahkan ke HGM dengan menggunakan ambulans yang sedia menunggu di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang.

Menurutnya operasi membabitkan lapan anak kapal diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Azuna Mohamed Sabri dan dibantu Penolong Kanan Penguasa Bomba Ahmad Hafiz Sulaiman tersebut selamat tiba di Subang, Selangor pada 4.50 petang.

“Keadaan cuaca berawan rendah dan keseluruhan operasi empat jam 30 minit,“ katanya. -Bernama