DALAM era globalisasi dan ledakan teknologi digital, media tidak lagi sekadar berfungsi sebagai penyampai maklumat semata-mata, tetapi telah berkembang sebagai rakan strategik yang amat penting kepada Universiti Awam (UA).
Hubungan antara UA dan media kini bersifat simbiotik, saling melengkapi antara satu sama lain dalam memperkukuhkan penyampaian maklumat, membina reputasi institusi dan membentuk persepsi masyarakat dan boleh diibaratkan seperti pepatah melayu iaitu “Bagai aur dengan tebing”.
Di Malaysia, kepentingan UA dalam pembangunan negara dapat dilihat melalui skala dan peranannya yang cukup besar terutamanya dalam melahirkan generasi pelapis pemimpin masa hadapan.
Sehingga kini, terdapat sebanyak 20 universiti awam, 36 politeknik dan lebih 100 kolej komuniti yang membentuk ekosistem pendidikan tinggi negara (Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia).
Berdasarkan maklumat dari Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi Malaysia 2022–2025, jumlah enrolmen pelajar di institusi pendidikan tinggi pada tahun 2021 melebihi 1.2 juta orang, dengan hampir 589,879 pelajar daripadanya berada di universiti awam.
Statistik ini membuktikan bahawa UA merupakan institusi akademik yang memberi impak besar kepada pembangunan modal insan negara.
Dalam konteks ini, media memainkan peranan yang sangat penting sebagai jambatan komunikasi antara UA dan masyarakat. Tanpa liputan media yang berkesan, pelbagai kejayaan penyelidikan, inovasi dan pencapaian akademik sukar diketengahkan kepada umum.
Justeru, media berfungsi sebagai platform untuk memastikan maklumat yang disampaikan bukan sahaja tepat, tetapi juga sampai kepada sasaran yang lebih luas.
Perkembangan media digital turut mengubah landskap komunikasi UA. Dengan kadar penembusan internet yang tinggi serta penggunaan media sosial yang meluas dalam kalangan rakyat Malaysia, penyampaian maklumat kini berlaku secara pantas dan meluas.
Laporan Digital 2024: Malaysia oleh DataReportal menunjukkan bahawa kadar penembusan internet negara telah mencecah 97.4 peratus, manakala lebih 28 juta rakyat Malaysia aktif menggunakan media sosial.
Statistik ini menggambarkan tahap kebergantungan masyarakat terhadap platform digital yang tinggi, sekali gus menjadikan media sebagai medium utama dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap institusi pendidikan tinggi.
Pengaruh media juga sangat signifikan terhadap warga kampus, khususnya kepada mahasiswa.
Pelajar universiti hari ini terdedah kepada pelbagai sumber maklumat melalui media digital yang secara langsung mampu mempengaruhi bagaimana cara sesorang mahasiswa berfikir, tahap kesedaran serta penglibatan mereka dalam isu semasa.
Ini menunjukkan bahawa media bukan sahaja mampu membentuk imej UA di mata masyarakat luar, malahan turut mempengaruhi budaya dan pemikiran dalaman institusi.
Selain itu, media memainkan peranan penting dalam usaha pengantarabangsaan UA. Berdasarkan data terkini, lebih 50,000 pelajar antarabangsa mengikuti pengajian di Universiti Awam Malaysia, manakala jumlah keseluruhan pelajar antarabangsa di negara ini melebihi 150,000 orang (Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia).
Peningkatan ini mencerminkan reputasi global UA yang semakin kukuh, hasil daripada keterlihatan dan liputan meluas melalui media.
Berdasarkan kepada laporan oleh QS World University Rankings by Subject 2026 turut menyenaraikan UniMAP sebagai Universiti Teknikal yang terbaik apabila tersenarai dalam kedudukan 401-550 bagi subject Science Material.
Mengulas kepentingan hubungan ini Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dato’ Professor Ts. Dr. Zaliman Sauli ketika berucap pada Majlis Gala Gemilang Media UniMAP 2024, menegaskan bahawa media memainkan peranan penting dalam menyerlahkan keterlihatan universiti serta menyampaikan pencapaian kepada masyarakat.
Menurut beliau, “Media juga memainkan peranan penting dalam menyampaikan pencapaian universiti kepada masyarakat. Tanpa sokongan media, banyak kejayaan dalam penyelidikan dan inovasi tidak dapat diketengahkan secara meluas” (Utusan Malaysia, 2024).
Beliau turut menambah bahawa dalam era digital, universiti perlu lebih proaktif dalam memanfaatkan media sebagai medium komunikasi strategik. “Kami di UniMAP melihat media sebagai rakan strategik utama universiti dan tidak sesekali menjadikan media sebagai musuh.
Hubungan erat ini penting terutamanya dalam membina reputasi universiti dan meningkatkan keterlihatan di peringkat tempatan dan global,”.
Pandangan ini selari dengan keperluan semasa yang menuntut UA untuk lebih responsif terhadap perubahan landskap komunikasi.
Dalam dunia yang dipenuhi dengan lambakan maklumat, keupayaan untuk menyampaikan naratif yang tepat dan berkesan menjadi faktor penting dalam menentukan kepercayaan masyarakat terhadap institusi.
Namun demikian, cabaran utama dalam hubungan antara UA dan media adalah memastikan ketepatan dan kredibiliti maklumat.
Dalam era berita palsu dan maklumat tidak sahih, kedua-dua pihak perlu memainkan peranan masing-masing secara bertanggungjawab. Media perlu memastikan laporan yang disampaikan berasaskan fakta, manakala UA perlu menyediakan maklumat yang telus dan tepat.
Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, kekuatan institusi bukan sahaja terletak pada apa yang dicapai, tetapi bagaimana ia diceritakan.
Justeru, hubungan erat antara media dan UA perlu terus diperkasa demi memastikan agenda pendidikan negara kekal relevan, inklusif dan memberi impak yang signifikan kepada pembangunan negara.
Secara tuntasnya, media dan institusi pendidikan tinggi awam perlu bergerak seiring sebagai rakan strategik dalam membina ekosistem pendidikan yang progresif dan berdaya saing.
Kejayaan sesebuah UA bukan sahaja bergantung kepada kecemerlangan akademik, tetapi juga kepada keupayaan untuk mengkomunikasikan pencapaian selain turut berkongsi kepakaran serta inovasi penyelidikan kepada masyarakat.
Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Wartawan Nasional kepada semua pengamal media. Teruskanlah menjadi penyampai berintegriti kerana ‘Media Berintegriti, Teras Kredibiliti’.
*Muhamad Azuan Mohamad Nasir merupakan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Perlis



