liza12/05/2026 - 11:12 Mediwira dilancarkan secara rasmi dengan rakan kongsi Mediwira dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Mei – Kumpulan penjagaan kesihatan tempatan, Mediwira (dahulunya dikenali sebagai i-Sihat Group) menyasarkan untuk mengembangkan rangkaian kliniknya kepada 100 cawangan di seluruh negara menjelang tahun 2030 seiring peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan swasta di Malaysia.
Sasaran jangka panjang itu diumumkan sempena pelancaran rasmi jenama baharu Mediwira di Johor Bahru, yang turut menyaksikan pembukaan klinik perubatan baharu serta perancangan pelancaran pusat rawatan medispa dalam tempoh terdekat.
Ketika ini, kumpulan itu mengendalikan 22 cawangan di seluruh negara, merangkumi klinik perubatan, klinik pergigian dan pusat medispa yang beroperasi di Lembah Klang, Johor dan Sabah.
Daripada jumlah tersebut, Mediwira mempunyai 12 klinik pergigian, 7 klinik perubatan dan 2 pusat rawatan medispa yang menawarkan pelbagai perkhidmatan kesihatan serta estetik kepada pelanggan.
Mediwira dalam satu kenyataan memaklumkan, pertumbuhan pesat itu didorong oleh beberapa faktor utama termasuk peningkatan populasi menua, kadar penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin meningkat serta perkembangan pesat sektor pelancongan perubatan.
“Sektor penjagaan kesihatan Malaysia turut dijangka berkembang kukuh dengan unjuran nilai pasaran mencecah AS$30 bilion menjelang 2027 yang membuka ruang lebih besar kepada pemain industri swasta untuk berkembang,” katanya.
Majlis pelancaran jenama baharu itu turut disempurnakan dengan kehadiran Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang menyatakan sokongan terhadap peranan klinik swasta dalam melengkapkan sistem kesihatan negara.
Beliau berkata perkhidmatan kesihatan swasta memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara sistem kesihatan awam dan kepakaran perubatan, selain memastikan akses rawatan lebih menyeluruh kepada rakyat.
Mediwira yang ditubuhkan pada 2012 sebagai i-Sihat Group oleh sekumpulan doktor tempatan telah memberikan perkhidmatan kepada lebih setengah juta pesakit sepanjang tempoh operasinya.
Menurut rakan kongsi kumpulan itu, Dr Nanda, penjenamaan semula kepada Mediwira mencerminkan identiti baharu sebagai “wira penjagaan kesihatan” yang komited terhadap penyampaian perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat. - DagangNews.com






