MEF sambut baik kelulusan RUU Pekerja Gig 2025 perkasa ekonomi masa depan

29/08/2025 - 16:00
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 29 Ogos – Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menganggap kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 di Parlimen sebagai satu langkah penting dalam membentuk masa depan pekerjaan di Malaysia, khususnya bagi 1.2 juta pekerja gig di negara ini.
Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, RUU tersebut menyediakan kerangka peraturan jelas yang mengiktiraf status unik pekerja gig, terutama mereka yang bekerja melalui platform digital.
“Ia juga memperkenalkan perlindungan penting seperti akses kepada keselamatan sosial, mekanisme penyelesaian pertikaian dan perlindungan daripada amalan tidak adil.
“Kelulusan RUU ini sangat penting pada masanya kerana pasaran buruh Malaysia sedang mengalami transformasi pesat yang didorong oleh teknologi, model perniagaan baharu dan perubahan jangkaan pekerja,” katanya dalam satu kenyataan.
Selepas tujuh tahun digubal, undang-undang itu akhirnya diluluskan setelah dibahaskan oleh 23 anggota Dewan Rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang.
RUU itu meraih sokongan majoriti ahli Parlimen melalui undian suara pada hari terakhir Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 semalam.
Tambahnya, MEF menyokong usaha kerajaan memastikan perlindungan adil bagi pekerja gig, sambil mengekalkan fleksibiliti yang menjadi teras kelestarian ekonominya.
“Fleksibiliti ini membolehkan pekerja memilih bila, di mana dan bagaimana mereka bekerja dan pada masa sama membolehkan perniagaan meningkatkan skala perkhidmatan dengan lebih efisien.
“Undang-undang baharu bagi pekerja gig perlu dirangka dengan seimbang supaya tidak terlalu ketat sehingga menjejaskan kelangsungan model pekerjaan ini. Peraturan yang berlebihan atau terlalu rigid boleh menyukarkan pemilik perniagaan untuk mengambil pekerja gig dan meningkatkan kos pematuhan.
“Jika perkara ini berlaku, ia boleh mengurangkan peluang rakyat Malaysia untuk memperoleh pendapatan tambahan melalui kerja bebas atau platform digital. Oleh itu, perlindungan terhadap pekerja gig mesti diwujudkan tanpa mengorbankan fleksibiliti dan keberkesanan model ekonomi gig,” katanya.
Sementara itu, Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyambut baik kelulusan RUU itu dan menyifatkannya sebagai pengakhiran segala bentuk ketidakadilan terhadap pekerja gig.
“Antaranya termasuk isu ketiadaan perlindungan sosial melalui Perkeso, kadar bayaran rendah, prosedur tuntutan yang kompleks dan kelewatan mendapatkan bayaran tuntutan.
“Justeru, GKMM menyeru majikan yang mengambil wartawan bebas, jurukamera dan juruvideo untuk segera menilai semula kontrak pekerjaan bagi memastikan ia lebih adil dan telus, selaras dengan RUU baharu itu,” kata GKMM.
“Ini termasuk merangka bentuk kontrak yang lebih saksama untuk menangani isu-isu yang dihadapi pekerja gig sebelum ini,” kata GKMM. - DagangNews.com
standard

