MEF wajar contohi GLIC tetapkan Gaji Kehidupan Wajar sejajar kos sara hidup semasa rakyat

27/05/2025 - 14:00
Oleh Amree Ahmad
MUNGKIN tidak ramai sedar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 12 Disember 2024 ada melancarkan Panduan Belanjawanku 2024/2025 dan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) sebagai rujukan penanda aras bagi memastikan jaminan tabungan mencukupi ketika bersara.
Antara disyorkan agensi tersebut ialah aras Gaji Kehidupan Wajar ditetapkan RM3,100 sebulan, lebih tinggi berbanding gaji minimum RM1,700 yang dilaksanakan bermula 1 Februari 2025 selari dengan Belanjawan 2025 dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.
Hakikatnya kadar asas itu masih lagi rendah dan diakui sendiri bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim pada 4 Mei 2025 yang menegaskan graduan universiti zaman sekarang sepatutnya bergaji permulaan RM7,000 dengan diambil kira inflasi tahunan sebanyak lima peratus.
Justeru, saranan KWSP itu sebenarnya hanya mendedahkan realiti semasa gaji ideal pekerja am agar dapat merancang persaraan masa depan kerana berdasarkan rekodnya, kira-kira 36 peratus ahli aktif dana tersebut melepasi tahap simpanan asas sebanyak RM240,000 apabila mencecah usia 55 tahun.
Angka berkenaan memang menakutkan kerana menggambarkan majoriti besar pencarum memiliki tabungan kurang daripada itu namun persoalannya, apakah majikan-majikan bersedia mencontohi syarikat-syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) yang sudah pun melaksanakan Gaji Kehidupan Wajar?
Bercakap mengenai isu ini, bekas Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berpendapat, panduan digariskan KWSP itu perlu diselaras dengan Dasar Gaji Progresif yang dilaksanakan secara rintis mulai Jun 2024 sebelum diperluaskan pada 2025.
“Sudah tiba masa, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengambil tindakan serius berhubung isu gaji asas ini kerana berdasarkan pengalaman, mereka akan memberi alasan kekangan kewangan dan penyelesaian paling mudah ialah pemberhentian pekerja bagi menjimatkan kos operasi,” katanya.
Justeru, beliau menambah, organisasi tersebut perlu belajar daripada GLIC, manakala perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu bijak berhemah dalam pengurusan perbelanjaan modal yang terhad agar gangguan operasi sehingga terpaksa menutup perniagaan dapat dielakkan berlaku sama sekali.
Artikel berkaitan: GLIC laksanakan Gaji Kehidupan Wajar selaras dengan rangka kerja ekonomi MADANI, menaikkan siling lantai taraf hidup
Senario kini katanya, memang tidak seimbang dan beliau merujuk kenyataan Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman sendiri pada 25 Mei 2025 yang mendakwa 70 peratus graduan bekerja dalam sektor separa mahir atau rendah kerana mereka didapati sebagai kurang kelayakan akademik.
Ia berdasarkan kajian diterbitkan oleh Gaji Cukup Makan baru-baru ini membongkar realiti sistem pendidikan tinggi di negara kita gagal memenuhi kehendak pasaran buruh, menyaksikan lebihan lepasan pengajian perniagaan dan sains sosial berbanding bidang kritikal yang ada permintaan besar.
“Masalah ini memerlukan pihak kerajaan terutama Kementerian Pendidikan Tinggi menilai semula penawaran kursus serta berbincang dengan pihak MEF khususnya sektor perindustrian yang amat memerlukan graduan kejuruteraan, teknologi maklumat dan vokasional,” kata Kamarul Baharin.
Beliau menambah, Gaji Kehidupan Wajar mungkin dilihat terlalu tinggi atau kurang realistik kepada majikan, namun ia tidak sepatutnya dijadikan dalih sengaja mengeksploitasi pekerja dengan upah amat rendah dan tiada berbaloi khususnya mereka yang perlu menetap di bandar-bandar besar.
MEF boleh berbincang dengan kerajaan melalui penyediaan statistik buruh secara tepat mengikut keperluan pasaran dan mungkin menganjurkan siri jerayawara atau program kesedaran kerjaya di sekolah-sekolah agar pelajar menengah mendapat maklumat tepat senario pekerjaan di Malaysia.
Kerajaan terutamanya Sekretariat Majlis Perundingan Gaji Negara di bawah Kementerian Sumber Manusia kata beliau, memang telah melakukan segala yang terbaik bagi menaikkan lantai kehidupan masyarakat dan cuba menangani isu gaji rendah menerusi penggubalan pelbagai polisi awam.
Usaha berterusan itu tegasnya, dilihat amat proaktif kerana jika tidak diurus dengan teliti, Malaysia dibimbangi boleh kehilangan ramai bakat terbaik yang terpaksa memilih untuk berhijrah mencari rezeki ke luar negara dan ia tentu merugikan prospek ekonomi negara dari segi jangka panjang.
Kesimpulannya, semua pihak sama ada kerajaan atau majikan, perlu berganding bahu bersama-sama memastikan Gaji Kehidupan Wajar yang disyorkan itu dapat direalisasikan demi kepentingan majoriti rakyat kerana limpahan kesan turut menjana positif pertumbuhan ekonomi domestik. - DagangNews.com
standard



