Megah Port lancar perkhidmatan marin dengan empat kapal tunda bernilai RM23 juta

LocalBusiness & Finance
29 Jul 2026 • 5:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Megah Port lancar perkhidmatan marin dengan empat kapal tunda bernilai RM23 juta Image from: Megah Port lancar perkhidmatan marin dengan empat kapal tunda bernilai RM23 juta johardy29/07/2026 - 17:50 Pelabuhan Labuan yang dikendalikan oleh Megah Port Management Sdn. Bhd. Oleh Jailani Hasan

LABUAN 29 Julai - Megah Port Management Sdn. Bhd. (MPM) secara rasmi memulakan perkhidmatan marinnya di Pelabuhan Labuan menerusi pengambilalihan empat kapal tunda bernilai RM23 juta bagi memperkukuh keselamatan, kecekapan dan kebolehpercayaan operasi pelabuhan.

 

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Patrick Tiong berkata, pelaburan strategik itu mencerminkan komitmen syarikat dalam memenuhi tanggungjawab sebagai pengendali Pelabuhan Labuan di bawah Perjanjian Penerusan Operasi, Kemudahan dan Pengurusan yang baharu dimeterai dengan Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA).

 

Beliau berkata, penyediaan perkhidmatan marin merupakan tanggungjawab mandatori yang perlu dilaksanakan oleh MPM di bawah perjanjian berkenaan.

 

"Perolehan empat kapal tunda ini merupakan pelaburan strategik bagi menyokong pelaksanaan perkhidmatan marin di Pelabuhan Labuan.

 

"Ia menunjukkan komitmen kami untuk menyediakan aset, tenaga kerja dan keupayaan operasi yang diperlukan bagi melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepada kami," katanya pada majlis pelancaran kapal tunda dan perkhidmatan marin di Jeti Dermaga Merdeka hari ini.


 

solar

 


Perkukuh operasi pelabuhan

Menurut Tiong, MPM komited memastikan operasi pelabuhan dijalankan dengan lebih selamat, cekap, teratur dan mampan melalui penyediaan aset serta keupayaan operasi yang mencukupi.

 

Katanya, kapal tunda berkenaan akan membantu kapal keluar masuk pelabuhan termasuk ketika operasi berlabuh, membuka sandar dan belayar di kawasan perairan yang sempit.

 

Selain itu, katanya, kapal tunda berkenaan turut digunakan bagi menunda, menarik dan menolak kapal, mengawal pergerakan kapal ketika cuaca buruk atau keadaan laut yang mencabar, mengiringi kapal dalam kawasan had pelabuhan serta membantu kapal yang mengalami kerosakan mekanikal, kehilangan kuasa atau masalah pengendalian.

 

Beliau berkata, aset baharu itu juga akan meningkatkan tahap kesiapsiagaan kecemasan MPM bagi menyokong operasi menyelamat, pemindahan serta memberi tindak balas awal terhadap insiden maritim.

 

Tingkat kesiapsiagaan kecemasan

Menurutnya, dalam situasi kecemasan, kapal tunda boleh digerakkan bagi membantu operasi pemadaman kebakaran, memindahkan kapal dari kawasan berisiko tinggi serta menyokong agensi penguatkuasaan dan keselamatan maritim mengawal keadaan.

 

"Keupayaan ini penting dalam meminimumkan risiko terhadap nyawa, aset, alam sekitar serta memastikan kesinambungan operasi pelabuhan," katanya.

 

Perkhidmatan marin MPM meliputi beberapa kawasan operasi dan terminal utama dalam had Pelabuhan Labuan termasuk Terminal DG, Terminal Petronas Chemicals Methanol Labuan, Terminal Bahan Api Pangkalan Bekalan Asia dan Terminal Shell Timur.

 

Tiong berkata, kerjasama rapat dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin serta agensi penguatkuasaan dan keselamatan lain amat penting bagi memastikan pergerakan kapal, operasi penundaan dan aktiviti marin mematuhi undang-undang maritim serta keperluan keselamatan.

 

Beliau menegaskan MPM akan terus terbuka menerima panduan, maklum balas dan cadangan daripada pihak berkuasa berkaitan bagi menambah baik operasi marinnya.

 

"Komitmen kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan marin secara profesional, bertanggungjawab dan mematuhi sepenuhnya undang-undang demi kepentingan keselamatan pelabuhan, pemain industri serta komuniti maritim," katanya.

 

Majlis pelancaran itu turut diserikan dengan demonstrasi tindak balas kecemasan yang mempamerkan keupayaan kapal tunda memberikan respons awal terhadap insiden kebakaran di perairan Labuan. - Bernama
 

 

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved