MEI membuka tirai bagi tahun 2026 dengan landskap negara yang masih dipengaruhi gelombang peristiwa sejak awal Januari hingga April.
Dalam tempoh tersebut, politik tempatan terus menyaksikan ketidaktentuan apabila beberapa negeri berdepan pergeseran dalaman melibatkan parti-parti utama seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang secara tidak langsung mencetuskan spekulasi mengenai kestabilan kerajaan serta kemungkinan penjajaran semula kuasa menjelang PRU akan datang.
Ketika rakyat masih bergelut dengan cabaran ekonomi, landskap politik negara pula digegar dengan krisis tidak dijangka khususnya di Negeri Sembilan.
Perkembangan terkini menyaksikan tindakan drastik UMNO negeri itu menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mencetuskan spekulasi kejatuhan kerajaan negeri.
Keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN selepas mendakwa hilang keyakinan terhadap kepimpinan ADUN Sikamat itu.
Langkah berkenaan dilihat sebagai satu perkembangan besar yang boleh mengubah landskap politik negeri, memandangkan gabungan PH sebelum ini hanya mempunyai kelebihan tipis dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Lebih menarik, krisis ini bukan sekadar pertikaian politik biasa, tetapi turut melibatkan institusi adat Negeri Sembilan yang unik.
Isu berkaitan Undang Luak Sungai Ujong menjadi pencetus utama ketegangan apabila berlaku pertikaian mengenai pemecatan penyandang serta percanggahan tafsiran dalam kalangan pemimpin adat dan kerajaan negeri.
Negeri Sembilan mempunyai sistem pemerintahan tradisional berbeza, yang mana Undang memainkan peranan penting dalam struktur kuasa negeri termasuk pemilihan Yang di-Pertuan Besar.
Maka sebarang konflik melibatkan institusi itu bukan sahaja bersifat politik, tetapi turut menyentuh aspek adat, perlembagaan dan legitimasi kepimpinan negeri.
Ketegangan makin memuncak apabila berlaku percanggahan pandangan mengenai status pemecatan Undang Luak Sungai Ujong, yang akhirnya membuka ruang krisis perlembagaan dan konflik tafsiran kuasa antara pihak berkepentingan.
Dalam suasana ini, tindakan UMNO menarik sokongan dilihat sebagai reaksi ketidakpuasan hati terhadap pengendalian krisis tersebut oleh pemimpin kerajaan negeri.
Persoalan kini timbul, sama ada situasi itu akan membawa pembubaran DUN dan seterusnya mencetuskan pilihan raya negeri (PRN) dalam masa terdekat, mungkin seawal bulan ini.
Secara teknikal, kerajaan negeri memerlukan sekurang-kurangnya 19 kerusi untuk membentuk majoriti mudah dan kehilangan sokongan BN menjadikan kedudukan kerajaan sedia ada berada di ambang kejatuhan.
Senario lain termasuk pembentukan kerajaan baharu melalui penjajaran semula sokongan politik, termasuk kemungkinan kerjasama antara BN dan PN yang boleh mengubah keseimbangan kuasa di negeri berkenaan.
Dalam konteks politik nasional pula, perkembangan di Negeri Sembilan berpotensi menjadi indikator kepada dinamika politik yang lebih luas.
Ia turut memberi gambaran kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan masih rapuh dan terdedah kepada tekanan dalaman, khususnya apabila melibatkan isu sensitif seperti adat dan institusi diraja.
Pada masa sama, konflik geopolitik global berlarutan memberi tekanan kepada harga minyak dunia, menyebabkan kos bahan api dan rantaian bekalan meningkat, seterusnya memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat Malaysia.
Keadaan ini menjadikan suku pertama 2026 fasa mencabar apabila kerajaan bukan sahaja perlu urus tekanan politik dalaman, tetapi memastikan kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara dalam persekitaran global yang tidak menentu.
Dalam keadaan ekonomi masih rapuh dan tekanan global berterusan, sebarang percaturan politik harus mengambil kira implikasi jangka panjang terhadap rakyat, bukannya sekadar keuntungan jangka pendek.
*Diana Azis ialah wartawan Sinar Harian




