Beberapa minggu lepas, Meizu telah mengeluarkan kenyataan yang mereka akan berhenti mengeluarkan telefon pintar dan fokus kepada peranti fizikal AI. Nampaknya, gimik Meizu ini telah mengelirukan orang ramai kerana hari ini ketika acara pelancaran Meizu 21 di Malaysia – Meizu memberitahu mereka akan berhenti mengeluarkan telefon pintar tradisional. Ini bermakna, selepas siri Meizu 20 – semua peranti yang mereka akan lancarkan akan dikuasakan dengan Flyme OS yang diintegrasikan dengan AI generatif.

Meizu turut berkongsi yang mereka semakin serius untuk pasaran Malaysia pada tahun ini. Kaca mata AR MYVU turut dirancang untuk dipasarkan di Malaysia. Dalam perkongsian Meizu hari ini, mereka dilihat ingin menjadikan FlymeOS sebagai pesaing kepada Xiaomi HyperOS iaitu satu sistem operasi untuk semua. Meizu turut ingin mempunyai sistem inforia kenderaan berasaskan Flyme.

Akan datang, pengguna Meizu di Malaysia dapat menikmati pengalaman penggunaan ekosistem lengkap dari aksesori ke telefon pintar dan pelbagai peranti lain lagi. Nampaknya idea yang mula dipopularkan oleh Huawei dengan HarmonyOS telah menjadi ikutan oleh pengeluar peranti lain.


