Mekanik didakwa bunuh kanak-kanak tiga tahun di Kuching

LocalPolitics
16 Oct 2025 • 4:00 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUCHING: Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di Kampung Rampangi, Sabtubong dekat sini, awal bulan ini.

Mohammad Shukri Ryan, 32, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa membunuh Nurzahieyka Zainuddin di sebuah rumah di Kampung Rampangi, Jalan Sultan Tengah kira-kira 7.45 malam, 7 Okt lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Seksyen 302 Kanun Keseksaan membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Nursyaheeqa Nazwa menetapkan 21 Nov depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng manakala Mohammad Shukri tidak diwakili peguam. – Bernama