
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada bulan lalu, kami ada melaporkan kisah tragis menimpa seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang disamun dan dirogol ketika beriadah pada cuti Awal Muharam lalu di Palekbang, Tumpat, Kelantan.
Namun pada 8 Julai, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang dipercayai merupakan suspek utama dalam kes tersebut.
Mekanik Dipenjara 20 Tahun & 7 Sebatan Selepas Mengaku Bersalah Rogol Remaja Sedang Beriadah
Terbaharu, Mahkamah Sesyen Pasir Mas menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan tujuh sebatan terhadap lelaki berkenaan yang juga seorang mekanik selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dan merompak remaja perempuan berusia 15 tahun itu.
Tertuduh, Muhammad Faryzuan Aiman Mat Yatim membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol serta mencederakan mangsa pada 17 Jun lalu kira-kira jam 7.40 pagi di kawasan semak di Kampung Mesra, Palekbang, Tumpat.
Tertuduh Didakwa Mengikut Dua Pertuduhan
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(2) kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Berdasarkan pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merompak telefon bimbit jenis Vivo Y19 milik mangsa sama serta bersenjatakan sebatang kayu sewaktu melakukan rompakan berkenaan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda atau sebat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyha Nai’lah Harizan dan tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Tertuduh Mohon Hukuman Diringankan Kerana Ada Isteri & Anak Berusia 3 Tahun
Siti Aisyha Nai’lah sebelum itu memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh setelah mengambil kira faktor kepentingan awam agar dijadikan pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai bagi mengelakkan kejadian sama dari berulang.
Jelasnya, kesalahan yang dilakukan adalah serius dan kejam kerana merogol serta merompak sehingga mangsa takut dan trauma dengan insiden berkenaan.
“Kecederaan dialami mangsa juga serius dan parah selain mengalami trauma teruk. Mangsa tiada hubungan langsung dengan tertuduh selain berpakaian sopan muslimah ketika beriadah pada hari kejadian,” katanya.
Tertuduh Diarah Jalani Kaunseling & Berada Di Bawah Pengawasan Polis Selama 3 Tahun Sebaik Dibebaskan
Walau bagaimanapun, Muhammad Faryzuan Aiman memohon agar mahkamah mengenakan hukuman minimum selain memaklumkan bahawa dia mempunyai isteri dan anak berusia tiga tahun.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan bagi pertuduhan merogol serta hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan merompak.
Hukuman penjara itu akan dijalankan berasingan bermula dari tarikh dia ditahan pada 7 Julai lalu.
Pada masa sama, mahkamah turut memerintahkan agar tertuduh menjalani sesi kaunseling ketika di penjara serta berada dalam pengawasan polis tiga tahun selepas hukuman tamat.
Selain dirogol, media melaporkan remaja berkenaan turut cedera akibat dipukul dengan sebatang kayu oleh suspek.
Mangsa ditemui dalam keadaan separuh sedar dengan kecederaan parah pada bahagian muka, kepala dan badan.
Difahamkan, mangsa keluar berjoging bersama adiknya yang berusia 10 tahun pada cuti Awal Muharam bulan lalu sebelum kedua-duanya terpisah.
Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, hasil siasatan mendapati mangsa mengenali suspek dan lelaki itu beberapa kali cuba mendekati remaja berkenaan sebelum kejadian berlaku.
Baca Artikel Berkaitan:
Remaja Perempuan Dipukul Dengan Kayu Sebelum Dirogol & Disamun Ketika Joging





