Cadangan darurat, tangguh PRN bukti DAP tak mampu tadbir negara - Akmal Saleh

LocalPolitics
15 Apr 2026 • 6:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Cadangan darurat, tangguh PRN bukti DAP tak mampu tadbir negara - Akmal Saleh
Akmal mengulas cadangan darurat dan menangguhkan PRN oleh Poay Tiong dalam hantaran di Facebooknya pada Rabu.

MELAKA - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membidas cadangan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang menyarankan kerajaan mengisytiharkan darurat bagi menangguhkan pilihan raya negeri (PRN).

Menerusi hantaran di Facebook, beliau mempersoalkan cadangan tersebut dengan menyatakan bahawa negara pernah berdepan krisis ekonomi sebelum ini tanpa perlu mengisytiharkan darurat.

“Dulu zaman Barisan Nasional menjadi kerajaan, kita juga menghadapi krisis ekonomi (tapi) tiada pula cadangan untuk isytihar darurat.

“Hari ini krisis ekonomi berlaku di negara lain juga, tetapi tiada yang mencadangkan perkara sama,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi DAP Melaka yang mencadangkan kerajaan Melaka mengemukakan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

Cadangan itu dibuat bagi menangguhkan pilihan raya negeri ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang meningkat susulan krisis bahan api.

Beliau menyifatkan cadangan berkenaan sebagai tanda ketidakmampuan mentadbir negara dengan baik.

“Bila Ahli Parlimen DAP cadang isytihar darurat, maknanya kamu sebenarnya tiada kebolehan dan kemampuan untuk mentadbir negara ini dengan baik.

“Maka yang perlu rakyat isytihar adalah humban kamu daripada menjadi kerajaan,” katanya