
MELAKA: Jabatan Kesihatan Melaka mengeluarkan sebanyak 2,002 kompaun bernilai RM1.02 juta ke atas premis makanan yang gagal mencapai standard kebersihan, tahun lepas.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata kompaun berkenaan dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 melibatkan kesalahan antaranya makanan diletakkan di atas lantai, pengendali makanan tidak mengambil suntikan tifoid dan pengendali tidak memakai apron.
Beliau berkata premis yang diperiksa diberikan pemarkahan berdasarkan kriteria ditetapkan dan sekiranya memperoleh kurang 71 markah, premis itu diarah tutup.
“Sebanyak 61 daripada keseluruhan 6,010 premis makanan yang diperiksa di Melaka sepanjang tahun lepas diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan negeri di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana tidak bersih.
“Kerajaan negeri memandang serius aspek kebersihan premis makan memandangkan Melaka ialah negeri pelancongan dan dikunjungi ramai pelancong dari dalam dan luar negara terutama pada tahun ini yang merupakan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Operasi Tahun Baharu Cina 2024 di sebuah pasar raya di Batu Berendam yang turut disertai Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Rusdi Abd Rahman.
Ngwe berkata penguatkuasaan menerusi operasi oleh Jabatan Kesihatan negeri akan dipertingkatkan bagi memastikan aspek kebersihan diutamakan oleh penjual atau pemilik premis makanan sepanjang TMM 2024.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 80.18 peratus atau 4,819 premis daripada keseluruhan 6,010 yang diperiksa tahun lepas, memperoleh gred A bagi penilaian kebersihan oleh Jabatan Kesihatan negeri.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,219 premis makanan melibatkan kategori restoran, kedai makan, penjaja dan dapur hotel memperoleh gred A,“ katanya.
Berhubung operasi hari ini, beliau berkata pelbagai kesalahan dikesan antaranya membiarkan telur busuk dan pecah di rak jualan, bungkusan produk makanan tiada label dan produk makanan tamat tarikh luput. -Bernama

