Melaka rekod sembilan kes kesalahan di bawah SHMMP tahun lepas

16 Jan 2023 • 4:42 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka merekodkan sembilan kes di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) daripada keseluruhan 317 kes membabitkan pelbagai kesalahan, tahun lepas.

Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem (gambar) berkata antara kesalahan dilakukan ialah menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum dan gagal meletakkan tanda harga merah jambu.

“Sepanjang SHMMP Tahun Baharu Cina yang berkuat kuasa bermula 15 hingga 29 Jan ini, KPDN Melaka juga menggerakkan seramai 90 penguat kuasa untuk melakukan pemeriksaan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan.

“Kita juga mahu mengingatkan peniaga (bahawa) tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Pelancaran SHMMP Tahun Baharu Cina 2023 di sebuah pusat beli-belah di Cheng di sini yang turut dihadiri Pengarah KPDN Melaka Norena Jaafar.

Ngwe berkata sepanjang tahun lepas juga, KPDN Melaka memeriksa 30,021 premis dan merampas pelbagai barangan berjumlah RM4.9 juta, selain mengeluarkan kompaun sebanyak RM91,150.

Dalam pada itu beliau berkata KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga pada barangan jualan.

“Pemeriksaan kita di beberapa tempat antaranya di Jonker Walk baru-baru ini, kami dapati ada peniaga yang masih tidak mempamerkan tanda harga walaupun sudah diberikan peringatan, selepas ini jika didapati mereka masih tidak berbuat demikian, penguat kuasa akan terus mengeluarkan kompaun.

“Kita juga ingin mengingatkan mereka supaya tidak mengambil kesempatan ke atas pelancong dengan mengenakan harga jualan yang berbeza,“ katanya. -Bernama