Gagasan perpaduan ummah dijangka kembali diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan perkembangan politik terbaharu di negeri itu.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, perkembangan berkenaan membuka ruang untuk gagasan tersebut direalisasikan semula pada PRN kali ini.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu menerusi hantaran di Facebook pada Selasa turut menyentuh kemungkinan Pakatan Harapan (PH) berdepan kekalahan pada pilihan raya berkenaan.
“Melaka sudah memanggil. Perpaduan ummah sekali lagi bakal direalisasikan. Insya-ALLAH, PH (Pakatan Harapan) bakal bertemu kekalahan berikutnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Selasa.

Terdahulu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa Rabu bagi membuka laluan kepada PRN.
Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, beliau telah menghadap Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam untuk memaklumkan kedudukan DUN Melaka sebelum memohon perkenan bagi pembubaran berkenaan.

Kredit Foto: Astro Awani
Yang di-Pertua Negeri Melaka kemudiannya berkenan supaya DUN Melaka dibubarkan berkuat kuasa esok.
Dalam pada itu, Fadhli sebelum ini menyifatkan penyatuan ummah sebagai antara gagasan penting dalam menghadapi pilihan raya, selain mendakwa kerjasama berkenaan mampu memberi cabaran kepada PH.
Pada 31 Mei lalu, beliau turut berpandangan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) wajar bergerak secara berasingan pada pilihan raya akan datang susulan hubungan antara kedua-dua parti yang didakwanya semakin sukar dipertahankan.
Sumber: FB Fadhli Shaari






