Melaka Umum Bayaran Khas RM300 Kepada Penjawat Awam Negeri

3 Aug 2023 • 12:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh umum bayaran khas bagi penjawat awam negeri. gambar fail

MELAKA -- Kerajaan negeri Melaka mengumumkan bayaran khas sebanyak RM300 kepada penjawat awam negeri dan akan dibayar sebelum 10 Ogos ini.

Tanpa menyatakan tarikh tepat, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata Bantuan Khas Penghargaan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM2.16 juta kepada 7,190 penjawat awam di negeri itu.

Beliau berkata ia akan disalurkan kepada penjawat awam di bawah perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri.

"Selaras dengan pengumuman kerajaan Persekutuan, maka kerajaan negeri bersetuju memberikan Bantuan Khas Penghargaan kepada semua penjawat awam di Melaka.

"Bayaran ini membuktikan kerajaan sentiasa menghargai penjawat awam sama ada yang masih berkhidmat atau yang telah bersara daripada perkhidmatan awam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka bagi Julai 2023 di sini hari ini. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai lepas mengumumkan Bantuan Khas Penghargaan sebanyak RM300 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM200 pula akan diberikan kepada pesara kerajaan.

Pembayaran akan dibuat pada 10 Ogos ini. - BERNAMA