‘Melang makin membangun, terima kasih Noorzunita’

LocalPolitics
30 Jul 2026 • 8:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Melang makin membangun, terima kasih Noorzunita’

KUALA PILAH – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah, Datuk Noorzunita Begum disifatkan sebagai pemimpin yang aktif turun padang serta memberi perhatian terhadap pembangunan infrastruktur dan kebajikan penduduk di kawasan Melang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Melang, Muhammad Faiz Aznam, 37, berkata, pelbagai kemudahan asas di kawasan itu berjaya ditambah baik hasil perhatian dan tindakan pantas Noorzunita.

“Beliau menjaga infrastruktur di Melang dengan baik, terma­suk menyediakan mesin rumput, menutup lubang jalan dan yang terbaharu membina tebing penahan bagi mengatasi masalah runtuhan sungai.

“Kalau ada pokok berbahaya atau perkara yang boleh mengancam keselamatan penduduk, tindakan akan diambil dengan cepat. Itu yang paling penting kerana kemudahan dan kese­lamatan penduduk sentiasa dijaga,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) itu, Dataran Melang kini semakin maju dengan penganjuran pelbagai program, selain pertambahan premis perniagaan yang berjaya menghidupkan kawasan berke­naan.

“Kalau saya lihat sepanjang lebih 20 tahun tinggal di Kuala Pilah, beliau antara pemimpin yang benar-benar bekerja. Jika ada kematian, kenduri atau program masyarakat, selagi ada ruang dalam jadual, beliau akan hadir.

“Walaupun jemputan dibuat dua hari lebih awal atau dalam tempoh singkat, sekiranya beliau mempunyai masa, beliau tetap akan turun. Memang beliau seorang wakil rakyat yang rajin turun padang,” katanya.

Muhammad Faiz berkata, pihaknya turut merancang untuk menjadikan Melang sebagai sebuah hab pendidikan bagi membantu anak-anak Kuala Pilah mengikuti kelas tambahan termasuk persediaan Ujian Penilaian Kelas KAFA dan Sijil Pelajaran Malaysia.

“Saya sudah memaklumkan idea ini kepada beliau dan sekarang kami perlu melihat aspek kos, tenaga pengajar serta kerjasama dengan kerajaan negeri. Harapannya, perancangan ini ­dapat dimulakan pada awal tahun depan,” jelasnya.

Sementara itu, penduduk Melang, Mazreena Mohd. Yusof, 47, berharap Kuala Pilah dapat dibangunkan dengan lebih cantik, moden dan tidak lagi kelihatan seolah-olah masih berada pada era 1980-an.

“Kita mahu pekan Kuala Pilah diberi nafas baharu, kemudahan infrastruktur ditambah baik dan dewan komuniti diperkasakan supaya dapat menyatukan masyarakat melalui lebih banyak aktiviti,” katanya.

Tambahnya, Kuala Pilah juga mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan bukan hanya berasaskan Adat Perpatih dilihat mampu merancakkan ekonomi serta menarik lebih ramai pengunjung.

“Kita ada adat dan warisan sendiri. Jadi, sektor pelancongan berkaitan Adat Perpatih perlu diketengahkan kerana itu keistimewaan Kuala Pilah,” ujarnya.

The post ‘Melang makin membangun, terima kasih Noorzunita’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved