
KUALA PILAH – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah, Datuk Noorzunita Begum mahu mewujudkan sebuah pusat sehenti khusus untuk wanita bagi membantu golongan itu mengimbangi kerjaya, keluarga dan pembangunan diri.
Beliau berkata, pusat berkenaan dirancang sebagai hab pemerkasaan wanita yang menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak, pendidikan awal, latihan kemahiran, keusahawanan serta pembangunan kerjaya.
“Wanita yang bekerja memerlukan satu tempat yang boleh memberi keyakinan kepada mereka bahawa anak-anak berada dalam keadaan selamat dan terjaga.
“Apabila kita ada pusat sehenti wanita yang lengkap dengan taska dan tadika, golongan wanita boleh memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap kerjaya mereka,” katanya ketika ditemui dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, di Kampung Parit, di sini semalam.
Menurut Noorzunita, pusat itu juga boleh dijadikan lokasi utama bagi melaksanakan program bimbingan, latihan kemahiran dan pemerkasaan ekonomi untuk wanita.
“Di pusat itu nanti, bukan sahaja ada taska dan tadika, tetapi kita boleh adakan bengkel, latihan perniagaan, kursus kemahiran serta program yang membantu wanita menjadi lebih berdaya saing.
“Kita mahu wanita datang ke satu tempat dan mendapat pelbagai bentuk sokongan, sama ada dari segi kerjaya, keusahawanan mahupun penjagaan anak,” katanya.
Beliau berkata, cadangan tersebut pernah dirancang ketika beliau memegang portfolio berkaitan pemerkasaan wanita selama dua tahun dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pembangunan Wanita.
“Saya melihat perkara ini sebagai satu keperluan kerana wanita memainkan peranan yang sangat besar dalam pembangunan keluarga, negeri dan negara,” ujarnya.
Katanya, pusat berkenaan bukan sahaja untuk penduduk Kuala Pilah, malah boleh memberi manfaat kepada wanita dari daerah bersebelahan seperti Jempol, Tampin dan Seremban.
“Kalau mahu dibina satu pusat bagi setiap daerah, kosnya mungkin agak besar. Jadi, kita boleh mulakan dengan satu pusat yang memberi perkhidmatan kepada Kuala Pilah dan daerah berjiran,” ujarnya.
Dalam pada itu, Noorzunita berkata, pembangunan Kuala Pilah perlu memberi perhatian serius terhadap penyediaan peluang pekerjaan yang stabil untuk anak muda.
“Di bawah kepimpinan PH, semua bangsa dan kaum menikmati inisiatif yang disediakan secara bersama tanpa ada sesiapa yang dipinggirkan.
“Namun, kita tetap perlu bekerja lebih kuat untuk memenangi hati rakyat dan mempertahankan DUN Pilah,” katanya.
The post Noorzunita mahu wujud pusat sehenti wanita Pilah appeared first on Kosmo Digital.





