KUALA LUMPUR, 13 November 2026 – Institut Koperasi Malaysia (IKMa) melakar sejarah gilang-gemilang apabila menyambut Sambutan Jubli Platinum sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-70 tahun (1956–2026). Acara kemuncak penutupan Majlis Menjulang Legasi 70 Tahun IKMa telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Mohamad bin Alamin, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bertempat di Dewan Tun Dr. Ismail, World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur.
Sambutan bersejarah ini turut mencatatkan detik bermakna di peringkat antarabangsa apabila IKMa diberi pengiktirafan berprestij disenaraikan sebagai Cooperative Cultural Heritage (CCH) oleh International Cooperative Alliance (ICA). Pengiktirafan global ini menyerlahkan peranan berterusan IKMa dalam memartabatkan pendidikan dan modal insan koperasi.
Majlis ini turut diraikan bersama perwakilan antarabangsa dari sembilan buah negara termasuk Thailand, Indonesia, Brunei, Australia, Filipina, India, Ghana, Jepun, dan Mauritius yang hadir bagi program International Cooperative Roundtable (ICR 2026).

Impak Tujuh Dekad: Rekod Kecemerlangan Latihan & Penyelidikan Sepanjang 70 tahun penubuhannya, IKMa telah membuktikan keberkesanan peranannya menerusi pencapaian berikut:
● PEMBANGUNAN MODAL INSAN: Berjaya melatih seramai 944,505 orang pemimpin, pengurus, dan anggota koperasi menerusi 15,674 program latihan dan bimbingan di seluruh negara.
● IMPAK TAHUNAN: Secara konsisten melatih hampir 25,000 peserta setiap tahun menerusi purata 700 program, memberi manfaat langsung dan tidak langsung kepada 55,000 orang komuniti tempatan setahun.
● EKOSISTEM PENYELIDIKAN KOMPREHENSIF: Menyempurnakan 107 penyelidikan, 90 kajian kes, serta 172 kajian kisah kejayaan koperasi di dalam dan luar negara sebagai rujukan pengurusan berasaskan ilmu.
● PROGRAM BIMBINGAN BERSASAR (TEPAT): Memperkasa keupayaan 200 koperasi terpilih menerusi 6 bidang utama iaitu BESTARI (Pendigitalan), TUNAS (Asas Pengurusan), PACU (Keusahawanan), MEGA (Gandingan Aset), KAWAN (Kewangan), dan BIK (Tadbir Urus).
Tonggak Ketiga Sosioekonomi Negara di bawah Malaysia MADANI Gerakan koperasi kini berdiri gah sebagai jentera ekonomi ampuh yang menyumbang secara langsung kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sehingga akhir tahun 2025, ekosistem koperasi negara mencatatkan pencapaian kukuh:
● Lebih 16,400 buah koperasi berdaftar dengan keahlian melebihi 7.33 juta rakyat.
● Penjanaan perolehan perniagaan mencecah RM82 bilion.
● Pemilikan aset bernilai RM186.7 bilion serta syer dan yuran anggota sebanyak RM18.6 bilion.

Pencapaian ini digerakkan secara seiring dengan hala tuju strategik KUSKOP di bawah kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menerusi pendekatan "Hebatkan
Perniagaan Malaysia", yang memberi tumpuan kepada penskalaan perniagaan, pengembangan perusahaan sosial, dan pengukuhan integriti.
Harapan Masa Hadapan: Peneraju Serantau Koperasi Mampan Menerusi Pelan Strategik IKMa 2026–2030, IKMa menetapkan sasaran untuk beroperasi sebagai Peneraju Serantau Pembangunan Modal Insan Koperasi Mampan. Pemerkasaan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) turut menjadi landasan strategik dalam menyediakan laluan pendidikan tinggi dan profesionalisme keusahawanan.
IKMa komited untuk terus menyemarakkan legasi 70 tahun ini sebagai obor panduan bagi melahirkan modal insan berintegriti, celik digital, dan berdaya saing global, sekali gus memastikan gerakan koperasi kekal relevan dalam memacu kesejahteraan sosioekonomi Malaysia MADANI.




