
KUALA LUMPUR - Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak menagih layanan istimewa dan bukan parti pelengkap kepada mana-mana gabungan.
Sebaliknya, kata Zahid, Umno adalah ‘tiang seri’ kepada Kerajaan Perpaduan malah apabila ia menjalinkan kerjasama, hubungan yang dibina bukan sandiwara.
Kerjasama politik itu juga, katanya dijalinkan bukan dengan muslihat.
“Jangan ingat ingat Umno parti kari pullay, parti daun kari… bila nak masak dicampak dalam kuali, bila dihidang kuis ke tepi.
"Barang harus diingat, Umno adalah tiang seri kestabilan negara,’’ katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zahid turut mengingatkan bahawa parti itu menghormati semangat kerjasama dan berpegang teguh kepada keputusan kolektif.
“Melihat kepada hakikat dalam Kerajaan Perpaduan ini, tidak ada unsur tebuk atap, tidak ada usaha tarik brek… jangan risau. Ini Zahid Hamidi, kita setia.
“Jangan perkotak katik Zahid Hamidi dan seluruh kepimpinan Umno,’’ katanya.
View this post on Instagram
Dalam pada itu, Zahid mendakwa ada pihak yang menawarkan Umno untuk membentuk kerajaan baharu.
Beliau bagaimanapun menegaskan Umno akan kekal bersetia bersama-sama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Memang ada tawaran terhidang, ada yang merisik, ada yang datang cuba meminang. Namun sehingga hari ini, Umno tetap melaksanakan amanah negara dan menyokong Kerajaan Perpaduan.
“Selagi asas negara dihormati, tiada yang dimungkiri, keikhlasan tidak dikhianati, Umno akan memainkan peranan dengan penuh tanggungjawab.
“Sekalipun ribut datang melanda, pokok mungkin condong ditiup angin, tetapi akarnya tetap mencengkam bumi,’’ katanya. - 16 Januari, 2026
The post Memang ada yang datang merisik, meminang namun Umno tetap mendokong Kerajaan Perpaduan: Zahid appeared first on Scoop.
