
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) dengan kerjasama Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (AKRAB), Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menganjurkan Program Lestari Budaya: Pementasan Karya Agung Teater Tradisional Mek Mulung “Putera Cahaya Bulan” oleh Kumpulan Mek Mulung Seri Mahawangsa dan Simposium Mek Mulung 2024.
Program ini merupakan salah satu usaha pembangunan dan pelestarian kesenian Mek Mulung yang telah tersenarai sebagai “Warisan Budaya Tidak Ketara Yang Memerlukan Perlindungan Segera” di peringkat UNESCO pada 05 Disember 2023. Dengan pengiktirafan ini, JKKN sedang berusaha untuk menyemarak lagi kesenian tersebut kepada pelbagai lapisan masyarakat sama ada dalam bentuk keilmuan atau siri-siri pementasan. Pementasan teater tradisional Mek Mulung akan diadakan pada 27 & 28 Oktober 2024 di Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam, Selangor. Antara tujuan pementasan ini diadakan adalah untuk melestarikan kesenian tradisional yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO, menyemarakkan seni teater tradisional Mek Mulung, memelihara dan memperkasa warisan budaya Melayu, menyediakan platform kepada penggiat seni untuk mempersembahkan bakat mereka serta menggalakkan penyelidikan dan kajian lanjut mengenai teater tradisional Mek Mulung.
Pementasan Karya Agung Teater Tradisional Mek Mulung ‘Putera Cahaya Bulan’ akan menemui anda pada 27 & 28 Oktober 2024 (Ahad & Isnin) pukul 8.30 malam bertempat di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam, Selangor. Pementasan pada kali ini akan memaparkan pergolakan kisah Putera Cahaya Bulan, Puteri Nang Mara dan Raja Gergasi. Saksikan perjalanan kisah mereka yang pasti mengusik emosi penonton hasil garapan pengarahan oleh Mohd Yusuf bin Azizan. Antara artis yang terlibat adalah Saiful Wazein Mohamad Jelani, Shamsul Nadia Zullkifli, Hairi Safwan, Che Mat Raja Lawak, Din Latah, Kumpulan Kesenian JKKN, Kumpulan Mek Mulung Wang Tepus Kedah. Untuk kehadiran menonton, sila imbas Kod QR yang tertera di poster.
Simposium Mek Mulung 2024 akan berlangsung pada 28 Oktober 2024 (Isnin) pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam. Simposium bertemakan “Lestari Budaya; Budaya kita masa depan kita” akan mengupas mekanisme baharu bagi memastikan kesenian ini terus dilestarikan. JKKN menjalin kerjasama strategik bersama UiTM Shah Alam sebagai batu loncatan untuk membicarakan secara akademik kesenian Mek Mulung dalam kalangan pendidik dan pelajar dalam bidang seni budaya. Antara objektif pelaksanaan simposium ini adalah untuk melihat masa depan kesenian Mek Mulung meniti arus pembangunan dan kemodenan negara, menilai tahap kefahaman dan penghayatan masyarakat untuk terus memelihara kesenian Mek Mulung, membangunkan dan menyemarakkan kesenian Mek Mulung kepada pelbagai lapisan masyarakat, mengekalkan dan memastikan kesenian Mek Mulung terus relevan dengan teknologi dan arus perubahan negara serta meningkatkan kefahaman dan penghayatan kesenian Mek Mulung melalui pelbagai kaedah penyampaian. Simposium ini akan menghimpunkan pembentang kertas kerja daripada pentadbir budaya, karyawan seni, ahli akademik dan penggiat seni yang akan mengupas dan membicarakan tentang kesenian Mek Mulung. Seramai 10 orang pembentang kertas kerja dari Malaysia, Indonesia dan Thailand akan terlibat dalam sesi pembentangan dan sesi soal jawab. Pembentang kertas kerja yang terlibat ialah Tan Sri Norliza Rofli, Puan Wan Azilawati Wan Mahmood, Prof. Dr. Mohd Kipli Abdul Rahman, Dr. Tan Awang Besar, Dr. Eyo Leng Yan, Prof. Madya Dr. Aminah Rhapor, Mohd Yusof Azizan, Khairul Anuar Zainudin (Malaysia), Ibu Hartanti Maya Krishna (Indonesia) dan Prof. Dr. Numan Hayimasae (Thailand).
Tiga (3) tema yang akan diketengahkan dan dikupas dalam Simposium ini iaitu; (i) Pelestarian Seni Budaya, (ii) Mek Mulung ke UNESCO dan (iii) Menggali Kekayaan Budaya Melalui Mek Mulung; Penghayatan Dan Pemerkasaan Warisan Seni Tradisional. Sijil penyertaan akan diberikan kepada peserta yang menyertai simposium ini. Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut, sila imbas kod QR pada poster. Tarikh tutup penyertaan pada 24 Oktober 2024 (Khamis).
“Bukan sahaja simposium, tetapi pementasan Teater Tradisional Mek Mulung ini adalah penting dalam usaha memartabatkan serta memulihara Teater Tradisional Mek Mulung melalui pelbagai kaedah penyampaian", ulas Mohd Amran bin Mohd Haris, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam kenyataannya hari ini.
Maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari laman sesawang JKKN iaitu www.jkkn.gov.my ataupun boleh layari facebook JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya.




