Membentuk Imuniti Kelompok, Suntikan Imunisasi Tambahan MR Secara Percuma Mulai Isnin

Entertainment
3 Aug 2025 • 12:02 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan Aktiviti Imunisasi Tambahan Measles-Rubella (MR SIA) bermula 4 Ogos hingga 12 Oktober ini di seluruh negara. Inisiatif ini menyasarkan kanak-kanak berumur 6 hingga 59 bulan (4 tahun 11 bulan) yang lahir antara 1 Ogos 2020 hingga 31 Januari 2025.

Langkah ini bertujuan memperkukuh program imunisasi sedia ada dengan meningkatkan tahap imuniti kelompok dan menyokong matlamat negara menghapuskan penyakit Measles menjelang 2030.

Vaksin MR akan diberikan secara percuma melalui klinik kesihatan kerajaan dan boleh diakses melalui janji temu di aplikasi MySejahtera atau secara walk-in.

image is not available

Memetik laporan Astro Awani, Measles dan Rubella merupakan penyakit berjangkit yang boleh membawa komplikasi serius seperti radang paru-paru, radang otak, sawan dan kematian.

Di bawah Program Imunisasi Kebangsaan, vaksin MMR diberikan pada usia sembilan dan 12 bulan, manakala di Sabah, dos tambahan diberikan pada usia enam bulan.

Walaupun liputan imunisasi negara melebihi 95 peratus secara keseluruhan, hanya 62 peratus daerah mencapai sasaran tersebut untuk vaksin MMR pada 2023.

Kadar ini penting bagi membentuk perlindungan kelompok dan mengawal penularan jangkitan.

Kes Measles dilaporkan meningkat hampir dua kali ganda pada 2024 dengan 3,791 kes, termasuk tiga kematian melibatkan kanak-kanak bukan warganegara yang tidak divaksin.

KKM menyeru ibu bapa agar tidak melepaskan peluang untuk melindungi anak-anak mereka melalui program imunisasi tambahan ini.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.