Pendaratan pesawat pejuang ringan (Light Combat Aircraft) FA-50M pertama milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Labuan menandakan anjakan strategik penting dalam pemodenan pertahanan udara negara.
Ketibaan aset berkeupayaan tinggi keluaran Korea Aerospace Industries (KAI) itu bukan sekadar penambahan inventori fizikal ketenteraan, sebaliknya menjadi manifestasi nyata kepada komitmen kerajaan dalam menjamin kedaulatan ruang udara tanah air terpelihara tanpa sebarang kelompangan keupayaan operasi.

Disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Muhamad Norazlan Aris TUDM serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, penerimaan ini memulakan fasa penghantaran aset tempur berkenaan sebelum diatur gerak ke penempatan tetapnya di Pangkalan Udara Kuantan.
“Perolehan ini amat penting dan sangat bersejarah kerana ia meningkatkan lagi keupayaan negara dalam melaksanakan tugas mempertahankan kedaulatan, terutamanya daripada sudut pertahanan udara,” kata Mohamed Khaled pada sidang media pada Majlis Penghantaran Pesawat FA-50M di Pangkalan Udara Labuan, hari ini.

Peralihan Keupayaan Strategik: Menggantikan Legasi Hawk
Perolehan 18 buah pesawat FA-50M bernilai hampir RM4 bilion di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) yang dimeterai pada 2023 dirangka khusus bagi menyokong pelan penggantian pesawat siri Hawk.
Pesawat Hawk yang telah sekian lama menjadi tulang belakang operasi serangan ringan dan latihan lanjutan dijadualkan menamatkan perkhidmatannya secara rasmi menjelang tahun 2028.
Bagi memastikan kelancaran fasa peralihan ini, proses penerimaan aset dilakukan secara berperingkat agar kesiapsiagaan tempur skuadron negara kekal ampuh tanpa mengalami sebarang jurang keupayaan.
“Menjelang April 2027, jumlah pesawat yang akan kita terima adalah enam buah, manakala tarikh akhir penerimaan kesemua 18 pesawat dijangka selesai sepenuhnya pada Mac 2028. Dengan demikian, pesawat Hawk yang akan ditamatkan perkhidmatannya pada 2028 akan terus digantikan dengan FA-50M,” jelas beliau.
Mengulas mengenai jadual penerbangan awal, Mohamed Khaled menjelaskan bahawa mengikut perancangan asal, sebanyak dua buah pesawat berlepas serentak dari Korea Selatan melalui Filipina.
Namun, atas faktor penelitian teknikal dan keselamatan penerbangan, pesawat kedua dijadualkan menyusul sejurus pemeriksaan selesai sebelum kedua-duanya menjalani ujian penyesuaian penerbangan komprehensif menjelang penyerahan rasmi kepada TUDM pertengahan November ini.
Spesifikasi Terkini dan Pemerkasaan Modal Insan
Pemilihan varian FA-50M meletakkan TUDM pada landasan teknologi persenjataan yang berwibawa. Pesawat dwiperanan ini berfungsi sebagai platform latihan lanjutan juruterbang pejuang (Fighter Lead-In Trainer) serta berupaya melaksanakan operasi tempur udara-ke-udara dan udara-ke-darat dengan integrasi persenjataan berketepatan tinggi.
“Versi yang kita peroleh ini adalah antara varian terkini dan terbaik, dilengkapi dengan kelengkapan persenjataan dan sistem peluru berpandu sama ada udara-ke-udara mahupun udara-ke-darat,” ujar Mohamed Khaled.
Kecanggihan teknologi pesawat ini bergerak seiring dengan kesiapsiagaan No. 15 Skuadron. Berdasarkan taklimat Pegawai Memerintah No. 15 Skuadron, Mejar Mohd Jamil Awang TUDM, seramai 127 daripada keseluruhan 209 perjawatan merangkumi juruterbang, pegawai kejuruteraan, dan kru teknikal telah bersedia mengoperasikan pesawat baharu ini.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) turut mengekalkan ruang terbuka untuk menilai keperluan perolehan kumpulan kedua (second batch) bagi pesawat kategori ini pada masa hadapan.
“Apabila semua pesawat ini telah kita uji dan sekiranya kita berpuas hati serta melihat ada keperluan untuk pertambahan, sememangnya kita akan ada kumpulan kedua (second batch).
“Namun, sama ada jenis yang sama atau berbeza, terserah kepada pihak TUDM untuk membuat perakuan,” tambah beliau.
Implikasi Geostrategik dan Benteng Pertahanan Sabah
Pemilihan Pangkalan Udara Labuan sebagai lokasi transit pertama pesawat FA-50M menggariskan tumpuan geostrategik terhadap kawasan perairan Malaysia Timur.
Dalam mendepani dinamik keselamatan serantau, MINDEF meletakkan agenda memperkukuh pertahanan Sabah sebagai keutamaan berterusan melalui pemasangan radar pantai (coastal radar) baharu, radar pertahanan udara di Labuan dan Pulau Layang-Layang, serta pembangunan kem-kem baharu bagi menampung penugasan lebih 10,000 anggota keselamatan.
Mohamed Khaled menegaskan bahawa langkah tersebut merupakan perancangan berdaulat demi memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin dalam menghadapi sebarang ketidaktentuan geopolitik.
“Langkah ini bukan sebagai satu reaksi kepada apa yang dilakukan di negara jiran, sebaliknya merupakan usaha berterusan kita kerana jika berlaku peningkatan ketegangan serantau, kita mahu memastikan ia tidak memberi kesan buruk kepada negara. Memperkukuh pertahanan dan keselamatan di Sabah memang menjadi matlamat kementerian,” katanya.

Pelaksanaan inisiatif ini berpaksikan kepada Teras 1 Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 yang menekankan pengukuhan kesiapsiagaan dan keupayaan pertahanan secara menyeluruh.
Ketibaan FA-50M pertama ini membuktikan bahawa hala tuju pembangunan kuasa udara negara dirancang berasaskan keperluan operasi jangka panjang yang jitu, sekali gus memastikan kedaulatan langit Malaysia terus dibentengi oleh angkatan tempur yang ampuh dan berdaya tahan.






