Pesawat tempur ringan baharu TUDM FA-50M selamat mendarat di Labuan

30 Oct 2026 • 3:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pesawat tempur ringan baharu TUDM FA-50M selamat mendarat di Labuan Image from: Pesawat tempur ringan baharu TUDM FA-50M selamat mendarat di Labuan hamden30/10/2026 - 15:25 Gambar/ Facebook TUDM Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Okt - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerima kehadiran pesawat tempur ringan FA-50M pertama buatan Korea Aerospace Industries apabila pesawat dengan no siri M58-01 selamat mendarat di Pangkalan Udara Labuan pagi ini.

 

Pesawat pertama daripada 18 unit yang ditempah TUDM dilaporkan berlepas dari Korea Selatan pada Rabu dan membuat persinggahan di Laog, Filipina, sebelum meneruskan penerbangan ke Labuan hari ini.

 

Menurut laporan media, turut mengiringi pesawat berkenaan berlepas dari Korea Selatan ialah pesawat kedua dengan no siri M58-02.

 

 

 

 

 

 

 

 

Bagaimanapun difahamkan pesawat kedua berkenaan masih berada di Laog, Filipina dan dijadualkan menyambung penerbangan bersama M58-01 ke Pangkalan Udara Kuantan pada Isnin, 2 Nov 2026.

 

tudm02

 

Pada Mei 2023, Kementerian Pertahanan dan syarikat aeroangkasa Korea Selatan itu memeterai kontrak bernilai hampir RM4 bilion bagi perolehan 18 pesawat tempur ringan FA-50 Block 20, yang dinamakan khusus sebagai FA-50M (Malaysia).

 

Berdasarkan perbandingan, varian berkenaan dikatakan jauh lebih canggih dan berkeupayaan tinggi berbanding FA-50 yang dikendalikan Tentera Udara Republik Korea (ROKAF) serta negara lain antaranya Thailand, Filipina dan Indonesia

 

Pada Jun lepas, TUDM mengesahkan dua pesawat FA-50M dijadual tiba di Malaysia pada bulan ini manakala bakinya pula akan diterima secara berfasa hingga Mac 2028.

 

Berkemampuan melaksanakan tugas dwifungsi

Perolehan pesawat ini berdasarkan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).

 

Ia menyasarkan perolehan pesawat yang berkemampuan melaksanakan tugas dwifungsi iaitu sebagai pesawat latihan lanjutan bakal juruterbang pejuang dan LCA.

 

TUDM memerlukan 36 buah pesawat jenis ini kesemuanya bagi mewujudkan 2 buah skuadron LCA.

 

Pembelian FA-50M Block 20 adalah untuk menggantikan pesawat Hawk Mk 108/208 dan Aermacchi MB339CM.

 

Hawk Mk 108/208 yang berusia 30 tahun sebelum ini menjadi tulang belakang sebagai pesawat latihan lanjutan untuk bakal juruterbang pesawat tempur selain operasi.

 

Pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 buatan Korea Selatan itu, turut digunakan oleh tentera udara Thailand, Indonesia dan Filipina di Asia Tenggara.

 

TUDM menjadi pengguna kedua selepas Poland yang memiliki varian FA-50 dengan ciri-ciri canggih.

 

Varian dilengkapi teknologi canggih

Difahamkan pesawat FA-50M Block 20 TUDM bakal dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) ‘Phantom Strike’ dan pelbagai komponen elektronik terkini serta peralatan mengisi minyak di udara.

 

Kemudahan pengisian minyak di udara akan memastikan pesawat FA-50M Block 20 itu beroperasi lebih jauh sesuai dengan geografi Malaysia sebagai negara maritim. Ini juga memberi kelebihan untuk pesawat terbang lebih lama.

 

Pesawat ini juga akan dilengkapi dengan kemampuan untuk melancarkan peluru berpandu dan bom berketepatan tinggi.

 

 

 

 

 

 

Selain itu, ia juga akan dilengkapi dengan pod sasaran ‘Sniper Advanced Targeting Pod’ (ATP) yang dibangunkan oleh firma pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin.

 

Ini menjadikan keupayaan operasi FA-50M hampir menyamai pesawat tempur yang bersaiz lebih besar seperti F-16 dan FA-18 yang dipasang dengan pod ATP. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved