Membudayakan pemakaian batik Malaysia bantu industri batik negara

24 Aug 2023 • 6:10 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PUTRAJAYA: Peraturan pemakaian batik Malaysia pada setiap hari Khamis yang diwajibkan bagi penjawat awam akan meningkatkan usaha membudayakan batik Malaysia, kata penjawat awam Marianne Anak Miga yang bertugas di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Beliau yang bertugas di Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini berkata peraturan itu juga sebenarnya memudahkan beliau membuat pilihan pakaian untuk ke pejabat selain dapat membudayakan pemakaian batik Malaysia.

“Membudayakan pakaian batik Malaysia bukan sahaja memberi kesedaran kepada rakyat tentang perbezaan batik negara sendiri dengan negara lain malah dapat melonjakkan industri batik tempatan,“ katanya Marianne, 33.

Anak kelahiran Sarawak itu berkata beliau akan membuat baju kurung dan blouse menggunakan batik Sarawak yang bermotif etnik supaya lebih ramai rakan-rakan dari Semenanjung Malaysia dapat menghayati keunikan batik Sarawak.

“Memang bangga setiap kali mengenakan pakaian batik kerana ia adalah identiti kita sebagai rakyat Malaysia dan bertambah semangat menjelang sambutan Hari Kebangsaan bulan ini,“ katanya.

Dalam surat edaran bertarikh 21 Ogos 2023 yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Dr Zulkapli Mohamed memaklumkan semua pegawai awam diwajibkan memakai pakaian batik Malaysia pada setiap hari Khamis dan digalakkan pemakaiannya pada hari bekerja lain.

Vinod Mathialakan, 34, berkata beliau bangga mengenakan batik Malaysia kerana batik itu memberikan identiti dan melambangkan anak jati Malaysia.

“Batik ini adalah identiti Malaysia, tidak kisah bangsa dan kaum mana apabila mengenakan baju bercorak batik menyatukan kita kerana itu imej kita sebagai rakyat Malaysia,“ katanya yang bertugas di Unit Komunikasi Korporat (UKK) KPDN.

“Bagus langkah itu (mewajibkan pakaian batik Malaysia) kerana sebelum ini ada yang keliru dengan batik Malaysia dan batik negara lain. Jadi dengan inisiatif itu dapat memberi pendedahan kepada rakyat tentang warisan dan budaya sendiri,“ katanya lagi. -Bernama