Memorial Muzium Kapal Diraja Hang Tuah jadi tarikan pelancongan di Lumut

LocalTravel
27 Jul 2026 • 11:57 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Memorial Muzium Kapal Diraja Hang Tuah jadi tarikan pelancongan di Lumut

LUMUT – Memorial Muzium Kapal Diraja Hang Tuah dijangka dibuka di sini kepada orang ramai pada tahun hadapan sekali gus menjadi antara tarikan pelancongan di Perak yang menerima kunjungan 23.6 juta pelancong domestik tahun lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihak kerajaan negeri yang menerima Kapal Ex-Hang Tuah daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini akan membangunkannya sebagai muzium tersebut dengan menggabungkan elemen pemuliharaan sejarah, pendidikan, pelancongan dan pembangunan komuniti.

“Penerimaan kapal yang telah berkhidmat hampir lima dekad ini membuka ruang kepada kerajaan negeri untuk memelihara sebuah aset penting warisan maritim negara supaya sejarah serta sumbangannya dapat terus dikenali dan dihayati oleh generasi akan datang.

“Pembangunan projek berkenaan akan dilaksanakan melalui pendekatan kerjasama awam-swasta dengan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) dipertanggungjawabkan untuk bekerjasama dengan Aero Art Sdn. Bhd. bagi menyelaras dan menyelia pelaksanaannya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Penyerahan Kapal Ex-Hang Tuah di Himpitan 1, Pangkalan TLDM di sini.

Saarani berkata, projek itu akan merangkumi taman awam terbuka secara percuma, zon komersial untuk usahawan tempatan, ruang aktiviti keluarga dan komuniti serta kemudahan bagi penganjuran program, pameran dan persidangan.

Katanya, pembangunan itu juga dirancang untuk menghidupkan semula kawasan Marina Wing dan Esplanade di Lumut melalui pertambahan kehadiran pengunjung, kegiatan perniagaan serta peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“Usaha ini selari dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang memberikan penekanan kepada pembangunan yang dapat merancakkan ekonomi setempat, memperluas peluang pendapatan dan membawa manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Konsep pelancongan ketenteraan yang diketengahkan melalui projek ini akan menambah kepelbagaian produk pelancongan maritim Perak serta menjadi tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap jasa dan pengorbanan warga TLDM dalam mempertahankan keselamatan serta kedaulatan perairan negara,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri yakin Memorial Muzium Kapal Diraja Hang Tuah akan menjadi tarikan penting di Lumut dan Manjung serta memperkukuh kedudukan Lumut sebagai bandar maritim utama negara yang menghubungkan warisan pertahanan laut dengan perkembangan sektor pelancongan.

Fasa pertama pembangunan muzium berkenaan melibatkan peruntukan bernilai RM30 juta melibatkan kerja-kerja renovasi dan kurasi, termasuklah penyediaan tapak di Marina Wing.

Untuk rekod, kapal itu dibina di Scotland sebagai Black Star untuk Ghana dan pernah berkhidmat sebagai Her Majesty’s Ship (HMS) Mermaid bagi Tentera Laut Diraja British.

Kapal tersebut ditauliahkan ke dalam armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai Kapal Diraja (KD) Hang Tuah pada 22 Julai 1977.

Bekas kapal tempur barisan hadapan jenis frigat yang dinamakan sempena laksamana legenda Melayu itu memiliki ukuran 103.5 meter panjang, 12.02 meter lebar, dengan berat sesaran 2,300 tan serta keupayaan kelajuan maksimum 24 knot. – KOSMO! ONLINE

The post Memorial Muzium Kapal Diraja Hang Tuah jadi tarikan pelancongan di Lumut appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved