LUMUT – Memorial Muzium Kapal Diraja (KD) Hang Tuah yang akan ditempatkan di Marina Wing di sini bakal menjadi tarikan pelancongan baharu di Perak.
Fasa pertama pembangunannya yang menelan belanja RM30 juta itu akan memperkukuh lagi kedudukan Bandar Lumut sebagai hab pelancongan maritim negara.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek yang dibangunkan hasil penyerahan Kapal Ex-Hang Tuah daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu dijangka siap dan dibuka kepada orang ramai pada 2027.
Menurutnya, pembangunan memorial muzium berkenaan bukan sahaja memelihara warisan maritim negara, malah menggabungkan elemen sejarah, pendidikan, pelancongan dan pembangunan komuniti.
“Kerajaan negeri hari ini menerima Kapal Ex-Hang Tuah daripada TLDM untuk dibangunkan sebagai Memorial Muzium KD Hang Tuah yang menggabungkan elemen pemuliharaan sejarah, pendidikan, pelancongan dan pembangunan komuniti.
“Penerimaan kapal yang telah berkhidmat hampir lima dekad ini membuka ruang kepada kerajaan negeri memelihara aset penting warisan maritim negara supaya sejarah serta sumbangannya dapat terus dikenali dan dihayati oleh generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kapal Ex-Hang Tuah daripada TLDM kepada kerajaan negeri Perak di Himpitan 1, Pangkalan TLDM Lumut di sini pada Isnin.
**media[3596058]**
Saarani berkata, pembangunan projek itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama awam-swasta antara Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dan Aero-Art Sdn Bhd bagi menyelaras serta menyelia pelaksanaannya.
Katanya, memorial muzium tersebut akan dilengkapi taman awam yang boleh dikunjungi secara percuma, zon komersial untuk usahawan tempatan, ruang aktiviti keluarga dan komuniti selain kemudahan bagi penganjuran program, pameran serta persidangan.
“Pembangunan ini juga dirancang untuk menghidupkan semula kawasan Marina Wing dan Esplanade di Lumut melalui pertambahan kehadiran pengunjung, kegiatan perniagaan serta peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
“Konsep pelancongan ketenteraan yang diketengahkan melalui projek ini akan menambah kepelbagaian produk pelancongan maritim Perak serta menjadi tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap jasa dan pengorbanan warga TLDM dalam mempertahankan keselamatan serta kedaulatan perairan negara,” katanya.
Beliau berkata, projek berkenaan selari dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan berimpak tinggi dalam merancakkan ekonomi setempat, memperluas peluang pendapatan dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Mengulas tempoh pembukaan, Saarani berkata, sasaran operasi masih kekal pada tahun 2027, namun tarikh tepat bergantung kepada perkembangan perbincangan antara MB Inc. dan Aero-Art termasuk aspek kesesuaian tapak pembangunan.

