BAHANG politik di Johor semakin panas apabila bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengumumkan keluar UMNO serta-merta dan mendakwa terdapat campur tangan pihak Istana dalam membuat keputusan melibatkan UMNO.
Lebih panas apabila Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa Puad pernah mengugut untuk keluar parti jika anaknya tidak dipertimbangkan sebagai calon BN di DUN Rengit.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan pula dalam kenyataan berasingan mendakwa beliau turut dimaklumkan oleh beberapa pihak bahawa kekecewaan berhubung pencalonan anak Puad menjadi faktor di sebalik tindakan tersebut.
Bagi Merak Jalanan, politik sepatutnya menjadi wadah perjuangan yang lebih besar daripada kepentingan keluarga.
Jika seseorang pemimpin sanggup meninggalkan parti yang disertainya selama puluhan tahun hanya kerana isu pencalonan anak, ia memberi gambaran bahawa kesetiaan kepada parti mempunyai syarat tertentu.
Ironinya, Puad sebelum ini sering mengkritik amalan politik naungan, pelantikan politik dan budaya kepentingan dalam parti lain. Yang menyedihkan ialah ahli biasa.
Mereka diminta setia puluhan tahun, memasang bendera, mengangkat kerusi dan mengisi dewan. Namun apabila tiba soal pencalonan, 'kabel' yang menjadi penentu.
Dalam politik hari ini, ada yang keluar parti atas dasar. Ada yang keluar kerana perbezaan prinsip. Tetapi dalam kes Puad ini, merajuk sebab anak tidak mendapat kerusi.
Mungkin benar UMNO bukan parti warisan. Cuma setiap kali timbul perebutan kerusi melibatkan keluarga, rakyat tertanya-tanya, apa yang sedang dipertahankan, prinsip parti atau memperjuangkan dinasti?





