‘Saya lakukan kamikaze untuk sedarkan pemimpin’ – Puad jawab Asyraf Wajdi

LocalPolitics
26 Jun 2026 • 9:53 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Dr Mohd Puad Zarkashi menjawab kenyataan Asyraf Wajdi dan mendakwa sistem pemilihan calon UMNO dipengaruhi amalan kronisme.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan keputusan beliau meninggalkan UMNO bukan berpunca daripada kegagalan anaknya dipilih sebagai calon pilihan raya, sebaliknya sebagai tanda protes terhadap sistem pemilihan calon yang didakwanya tidak telus dan dipengaruhi pihak tertentu.

Menerusi satu kenyataan di Facebook, Puad membalas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang sebelum ini mendakwa tindakan beliau keluar parti didorong rasa tidak puas hati kerana anaknya tidak dicalonkan.

Menurut Puad, dakwaan itu tidak menggambarkan isu sebenar yang menjadi bantahannya, malah beliau menggesa Asyraf menjelaskan kepada ahli parti bagaimana bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Pn Alwiyah Talib yang sebelum itu bersama Bersatu, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Endau tidak lama selepas kembali menyertai UMNO.

Beliau turut mempersoalkan keputusan berkenaan yang menurutnya menyebabkan Ketua Puteri UMNO Johor serta Ketua Puteri UMNO Bahagian Mersing tidak diberikan peluang bertanding, selain mendakwa calon muda lain turut diketepikan.

Baca juga:
Dakwaan amaln kronisme

Puad turut membangkitkan kes melibatkan bekas ADUN Tiram, Azizul Bachok yang didakwanya digugurkan pada saat akhir sebagai calon sebelum digantikan dengan Senator Halim Sulaiman.

Menurut beliau, tindakan berkenaan menimbulkan persoalan mengenai amalan kronisme dalam proses pemilihan calon, sekali gus menjadi antara sebab utama beliau membantah sistem tersebut.

“Maka sistem pilih calon itu yang saya protes. Apabila tidak dilayan, apa lagi pilihan yang saya ada? Parti jadi milik eksklusif. Sebab itu saya melakukan kamikaze untuk sedarkan pemimpin,” katanya.

Mengulas dakwaan mengenai anaknya, Puad berkata tiada kesalahan untuk beliau mencadangkan anak sendiri sebagai calon sekiranya individu berkenaan memiliki kelayakan dan telah dipersiapkan untuk memikul tanggungjawab tersebut.

Beliau turut mempersoalkan mengapa perkara itu dijadikan isu sedangkan, menurutnya, terdapat pemimpin bahagian lain yang turut mencadangkan ahli keluarga masing-masing untuk bertanding.

Dalam kenyataan sama, Puad turut mendakwa terdapat anak dan isteri beberapa pemimpin UMNO di ibu pejabat parti yang memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

The post ‘Saya lakukan kamikaze untuk sedarkan pemimpin’ – Puad jawab Asyraf Wajdi appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved